Dadah jenis syabu seberat 378 kg bernilai RM13 juta berjaya dirampas dari empat suspek berperanan sebagai transporter berjaya dicekup di lot parkir pusat beli belah di Putrajaya.

SHAH ALAM – Empat individu, termasuk seorang pelajar akademi swasta, yang menjadi transporter ditahan polis ketika memindahkan dadah dari kenderaan meeka di tempat parkir sebuah pusat beli belah di Putrajaya, Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, berpandukan maklumat polis melakukan pemeriksaan di dalam sebuah kenderaan suspek yang membawa kepada rampasan 350 paket bungkusan teh Cina yang disyaki mengandungi dadah jenis Methaphetamine seberat 355.75 kilogram.

“Seorang pekerja kedai makan dan pelajar jurusan diploma sebuah akademi swasta antara empat suspek yang ditahan dan berusia lingkungan antara 22 tahun dan 37 tahun,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Tambah beliau, berpandukan kepada tangkapan itu, polis melakukan serbuan di sebuah kondominium yang disewa suspek di Putrajaya yang membawa kepada penemuanĀ 22 bungkusan ‘teh Cina’ dan sebungkus plastik lutsinar yang mengandungi dadah jenis Methaphetamine seberat 23.09 kilogram.

Menurut Arjunaidi, jumlah keseluruhan rampasan dadah seberat 378.8 kilogram itu bernilai RM13.26 juta.

Jelasnya, semakan mendapati tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan samun.

Katanya, kesemua suspek dilibatkan dalam saringan ujian air kencing dan dua daripada mereka positif Methaphetamine.

“Siasatan polis mendapati sindiket ini memperolehi bekalan dadah daripada negara jiran dan risikan maklumat polis juga mendedahkan aktif sejak enam bulan yang lepas dalam pengedaran dadah di sekitar pasaran Lembah Klang,” ujarnya.

Sementara itu, Arjunaidi berkata, polis berjaya melakukan pelucutan aset berupa dua kenderaan pacuan empat roda sebuah kenderaan utiliti sukan, akaun bank dan seutas jam tangan mewah.

Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta hukuman sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan jika disabit kesalahannya. – MalaysiaGazette