KUALA LUMPUR – Rata-rata komuniti India yang menjadi penyokong tegar Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan hasrat supaya lebih ramai wakil mereka dilantik dalam kepimpinan erajaan.
Malah ada juga suara yang tidak begitu berpuas hati dengan hanya satu pelantikan menteri penuh dalam kalangan masyarakat itu dalam kerajaan Perpaduan minggu lepas.
Dalam satu surat terbuka berbahasa Inggeris yang diluahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ciscorp Asia Pacific Sdn Bhd, Datuk Dr Thirumoothy memohon supaya Perdana Menteri melantik lebih ramai pemimpin muda dalam kalangan kaum India untuk menyertai pentadbiran beliau kali ini.
“Kami dari kalangan komuniti perniagaan India dengan rasa rendah diri memohon YAB PM mempertimbangkan permintaan kami untuk lantik lebih ramai wakil-wakil yang dinamik bagi membawa suara dan hasrat masyarakat India kepada pentadbiran progresif.
“Pelantikan YB Sivakumar bukan tidak kami hargai sebaliknya seorang sahaja tidak memadai untuk membawa aspirasi kami dengan berkesan kerajaan anda. Kita amat berharap PM dapat menggunakan budi bicara atau perogratif anda untuk membuat lantikan-lantikan ini,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, tambah Thirumoothy lagi, hakikatnya pelantikan lebih ramai pemimpin dalam kalangan masyarakat India di negara ini pastinya memberi sinar harapan kepada komuniti ini yang telah mendukung aspirasi Anwar sejak 2008 lagi.
“Kaum India rata-ratanya sentiasa memberi pelbagai gelaran termasuklah Sivaji The Boss. Kita harap beliau dapat membuktikan harapan tinggi oleh masyarakat India di negara ini bagi memastikan golongan ini tidak sesekali terpinggir.
“Adalah penting semua pelantikan ini juga dibuat berdasarkan bakat, kredibiliti, imej bersih dan memiliki kewibawaan tinggi yang turut mendapat pencalonan dari parti masing-masing.
“Ini juga penting untuk Perdana Menteri bagi memastikan kerajaan yang diterajuinya sangat telus, berintegriti dan adil saksama kepada semua,” ujarnya. – MalaysiaGazette