Salah sebuah motosikal yang dirampas polis.

JOHOR BAHRU – Tiga lelaki ditahan polis kerana disyaki menyamun pekerja hotel dan juruwang kedai serbaneka di Masai dan Uu Tiram  awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan dibuat pekerja kaunter hotel dan juruwang kedai serbaneka berkenaan yang berusia 37 dan 48 tahun.

“Pada jam 4 hingga 5 pagi semalam berlaku kejadian samun di hotel dan kedai serbaneka berkenaan. Semasa kejadian mangsa sedang bekerja dan telah disamun dua lelaki tempatan bersenjatakan parang.

“Seorang daripada suspek mengacukan parang ke arah mangsa sambil mengambil barang berharga sebelum melarikan diri. Antara barang yang dilarikan telefon bimbit jenama Vivo Y15 dan wang tunai RM750,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Sohaimi, bertindak atas maklumat antara jam 10 hingga 11.30 malam Rabu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Balai Polis Pasir Gudang dan Balai Polis Taman Scientex melakukan serbuan.

Dalam serbuan itu tiga lelaki tempatan berusia antara 23 dan 24 tahun diberkas dalam serbuan tersebut di sekitar Pasir Gudang dan pihaknya turut merampas barang milik mangsa dan senjata yang digunakan suspek, ujarnya.

“Kita telah menemui antaranya dua buah motosikal, dua topi keledar, lima helai jaket, sebilah parang, tiga pasang kasut dan dua telefon bimbit termasuk satu milik mangsa,” katanya.

Mohd sohaimi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukan penjara sehingga 20 tahun jika disabitkan kesalahan.

Katanya, kesemua suspek direman di bawah Seksyen Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama tujuh hari sehingga hingga 14 Disember ini bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette