Muhammad Faiz Na'aman

KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyambut baik tindakan UMNO memecat keahlian Tan Sri Annuar Musa dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu malam tadi.

Ahli MPTnya, Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu boleh menyertai parti Bersatu yang sentiasa mengalu-alukan penyertaannya untuk bersama memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

Kata beliau, sudah sampai masanya bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berhijrah menyertai Bersatu kerana berada dalam UMNO tidak membuahkan hasil yang boleh memberi manfaat kepada Alif Baa Taa.

“Hijrah bukan perkara asing bagi ahli politik yang tidak sehaluan dengan perjuangan partinya. Hijrah adalah satu fitrah biasa bagi umat Islam.

“Jom Tan Sri (Annuar) hijrah ke Perikatan Nasional (PN) demi meneruskan perjuangan Alif Baa Taa.

“Sebagai orang muda yang baharu dalam arena politik, saya ikhlas pelawa Tan Sri,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Semalam, mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memutuskan untuk memecat keahlian Annuar bersama dua Ketua Wanita UMNO Bahagian yang lain.

Mereka ialah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datin Seri Shamsiah Yasin yang juga isteri kepada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ketua Wanita UMNO Maran, Datin Seri Fatimah Kassim yang merupakan isteri kepada Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib.

Bagaimanapun, sehingga pagi ini belum ada kenyataan rasmi daripada ketiga-tiga mereka yang dipecat, kecuali Annuar menerusi status terbaharu Facebooknya menceritakan mengenai mimpi ‘rumah pusakanya’ terbakar.

Dalam pada itu, Dr. Muhammad Faiz memuatnaik status sindiran kepada pimpinan UMNO supaya memecat lagi ahlinya supaya parti itu tidak mempunyai pemimpin lagi.

“Ya, pecat lagi. Silakan. Dahlah puak kamu nyawa-nyawa ikan hingga melutut ke pangkuan DAP pasca PRU15, kamu kecil dan ranapkan lagi dengan buang orang sendiri. Bagus,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. masa bina negara .. dh ditakdirkan jadi pembangkang maka jadi lah pembangkang yg membina. Nanti dekat2 pru16 baru bicara ttg politik balik.

Comments are closed.