Saffree (berdiri enam dari kanan) mengambil gambar kenangan bersama pelajar perubatan FPSK, ketua kampung dan hadirin lain selepas menyempurnakan majlis perasmian

KUDAT – Pelajar Perubatan tahun 4 Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) melaksanakan kajian berkaitan penyakit Malaria Monyet di Kampung Malamam dan Kampung Sakat Malamam, di sini, baru-baru ini.

Modul Perubatan Komuniti selama tujuh minggu itu antara lain memberi peluang kepada para pelajar perubatan mendekati komuniti setempat, memahami masalah dan keperluan kesihatan penduduk, serta melakukan kajian dan melaksanakan promosi kesihatan.

Dekan FPSK UMS, Profesor Dr Mohammad Saffree Jeffree berkata, walaupun kes jangkitan malaria secara amnya menunjukkan penurunan, namun
jangkitan malaria bawaan haiwan (beruk/ kera) atau dikenali sebagai zoonotic malaria telah menunjukkan peningkatan.

”Modul ini memberikan kelainan kepada pelajar yakni mereka perlu turun padang dan mendekati komuniti dalam persekitaran setempat,” katanya.

Saffree turut berpesan kepada penduduk kampung untuk sentiasa peka dengan kesihatan diri dan keluarga serta sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan jangkitan malaria dan penyakit-penyakit lain.

Penduduk juga boleh mendapatkan rawatan di Klinik Pusat Pendidikan Perubatan Desa (Rural Medical Education Centre – RMEC) yang terletak di Sikuati, Kudat.

”RMEC telah bekerjasama dengan Klinik Kesihatan Sikuati dalam menyediakan rawatan pesakit luar serta rawatan pakar daripada UMS,” jelasnya. – MalaysiaGazette