KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon tidak menyangka skuad Harimau Malaya berjaya menjaringkan empat gol sehingga memperoleh kemenangan apabila membenam Kemboja 4-0 pada perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional di Bukit Jalil, malam tadi.
Pan Gon berkata, ini kerana pasukannya dibarisi ramai pemain baharu dan mereka baru saja bergabung sejak kem latihan pusat bermula 29 Nov lepas.
“Sebenarnya dari hari ke hari saya dapat melihat satu peningkatan, saya gembira dan sangat bangga dengan mereka (pemain), mereka profesional, cepat menyesuaikan diri, seperti sudah lama beraksi bersama-sama,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu di sini.
Pan Gon turut mengucapkan tahniah kepada tujuh pemain yang membuat kemunculan pertama dalam pertembungan dengan skuad Angkor Warriors itu.
Mereka ialah penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Nur Shamie Iszuan Amin, Muhammad Aliff Izwan Yuslan, dua pemain kacukan David Rowley dan Stuart Wilkin serta dua pemain naturalisasi Lee Tuck dan Sergio Aguero.
Dalam pada itu, Pan Gon berkata beliau menuntut banyak komitmen daripada para pemain bagi memastikan pasukan bersedia sepenuhnya untuk beraksi pada Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 dari 20 Dis hingga 16 Jan tahun depan.
“Saya beri tekanan kepada mereka kerana pada peringkat ini kita perlu meningkatkan tahap fizikal, untuk dapatkan kecergasan perlawanan (kerana) beberapa pemain sangat letih pada masa ini tetapi kita masih perlu mencapai tahap yang baik untuk beraksi dalam Piala AFF,” kata jurulatih berusia 53 tahun itu.
Pada perlawanan malam tadi, kapten Mohamad Faisal Halim menjaringkan dua gol manakala Tuck dan Wilkin masing-masing meledak satu gol pada penampilan sulung mereka.
Sementara itu, ketua jurulatih Kemboja Ryu Hirose menganggap pasukannya sudahpun tewas selepas ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama kerana anak buahnya memberikan lebih banyak ruang kepada Malaysia menguasai bola.
Jurulatih dari Jepun itu berkata pihak lawan mempunyai potensi yang bagus walaupun dibarisi muka baharu dan pemain muda, membuatkan beliau berpendapat Malaysia mempunyai masa depan yang cerah.
Pasukan negara seterusnya akan melengkapkan aksi antarabangsa Tier 1 bertemu Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras Rabu depan sebelum memulakan kempen Piala AFF 2022 dengan menentang Myanmar di Yangon dalam aksi pembukaan Kumpulan B pada 21 Dis.
Malaysia kemudian akan menempuh saingan kumpulan berdepan Laos di sini pada 24 Dis, Vietnam di Hanoi (27 Dis) dan melayani kunjungan Singapura di sini pada aksi terakhir kumpulan pada 3 Jan tahun depan. – BERNAMA