Larry Sng

KUALA LUMPUR – Parti Bangsa Malaysia (PBM) kecewa kerana tidak mempunyai seorang wakil pun dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden PBM, Datuk Larry Sng berkata, PBM merupakan parti terawal yang memberi sokongan padu kepada Anwar untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, sekali gus membentuk kerajaan.

“Tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata kekecewaan saya dengan barisan Kabinet memandangkan Parti Bangsa Malaysia yang merupakan antara yang terawal memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibarahim untuk menjadi Perdana Menteri ke-10, tidak mempunyai perwakilan dalam kabinet,” katanya.

Larry dalam kenyataan bagaimanapun berkata, sebagai sebuah parti PBM tidak akan membiarkan kepentingan peribadi menghalang kepentingan negara.

Serentak itu beliau menegaskan, walaupun tidak dilantik dalam Kabinet Anwar parti itu tetap akan memainkan peranan yang terhad untuk mengukuhkan asas Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu Larry memaklumkan akan melakukan mesyuarat dengan pemimpin parti dalam masa terdekat.

Menurut beliau, hasrat PBM untuk bergabung dengan parti lain akan diteruskan seperti yang dirancang.

“Saya akan memanggil untuk mengadakan pertemuan dengan para pemimpin kanan PBM dalam beberapa hari akan datang, untuk menentukan hala tuju kita ke hadapan.

“PBM masih akan kekal sebagai parti nasional dan adalah penting untuk kita meluaskan pangkalan kita.

“Saya tidak menolak kemungkinan penggabungan dan pembinaan gabungan dengan parti politik lain, sama seperti yang kita rancang sebelum Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.

Pada PRU lalu PBM yang bertanding di lima kerusi Parlimen hanya menang satu kerusi iaitu Parlimen Julau yang ditandingi oleh Larry.

Parti itu tewas di Ampang, Hulu Selangor, Kapar dan Labuan.

Larry antara pemimpin PKR yang keluar parti. Selain beliau, bekas pemimpin PKR yang menjadi anggota parti itu adalah Datuk Zuraida Kamaruddin yang gagal mempertahankan Parlimen Ampang.

Anwar malam tadi mengumumkan senarai nama 27 timbalan menteri ke dalam Kabinet beliau dengan 15 muka daripadanya muka baharu.

Barisan Kerajaan Perpaduan Anwar merangkumi seramai 55 menteri dan timbalan menteri.-MalaysiaGazette