ISKANDAR PUTERI –  Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini meluluskan Belanjawan Johor 2023 berjumlah RM1.731 bilion.

Speaker DUN, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memaklumkan belanjawan diluluskan secara sebulat suara apabila 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan menyokong.

Belanjawan bertemakan Maju Johor,  Makmur Bersama Rakyat’ ianya dibentangkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 1 Disember lalu.

Belanjawan dibentangkan itu adalah belanjawan lebihan RM2.44 juta selepas dua tahun berturut-turut Johor merekodkan belanjawan defisit pada 2021 dan 2022.

“Kali terakhir Johor merekodkan belanjawan lebihan adalah pada 2020 yang menyaksikan lebihan sebanyak RM2.36 juta, untuk tahun ke-10 berturut-turut.

Ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023 di DUN Johor, Onn Hafiz berkata, negeri ini diunjurkan mengutip hasil dianggarkan sebanyak RM1.734 bilion manakala perbelanjaan pula dianggarkan berjumlah RM1.731 bilion.

Belanjawan Johor 2023 membabitkan sejumlah RM69.51 juta perbelanjaan tanggungan manakala bakinya, RM1.662 bilion adalah perbelanjaan bekalan.

“Pada tahun depan,  hasil Johor dianggarkan sebanyak RM1.734 bilion dengan perbelanjaan pula adalah sebanyak RM1.731 bilion. Oleh itu,  terdapat lebihan sebanyak RM2.44 juta.

“Sejumlah RM1.126 bilion diperuntukkan bagi tujuan belanja mengurus membabitkan emolumen sebanyak RM 559.54 juta,  perkhidmatan dan bekalan (RM316.73 juta), aset (RM 27.86 juta), pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM 209.37 juta) dan perbelanjaan lain (RM 13.24 juta),” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023, di Bangunan Sultan Ismail, dua minggu lalu.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, ekonomi Johor kini kembali rancak dalam era pasca pemulihan Covid-19.

Katanya, walau dihimpit oleh ketidaktentuan ekonomi, Johor terus menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan.

“Pada hemat saya, kerancakan kemajuan ekonomi Johor ini disumbangkan oleh empat faktor utama, pertamanya adalah kedudukan politik Johor yang stabil.

“Keduanya, polisi mesra pelabur yang digagaskan bagi memastikan Johor kekal menjadi destinasi utama pilihan pelabur selain pembukaan semula sempadan antara Johor – Singapura mulai 1 April lalu,” jelas beliau.

Selain itu penambahbaikan sistem penyampaian awam dan pembangunan modal insan dilihat  menjadi faktor ekonomi Johor semakin rancak.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast