Bersatu Sabah tutup kedai
Mohd. Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh ‘tutup kedai’ di Sabah selepas pemimpin-pemimpinnya di negeri itu keluar parti semalam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mempersoalkan masa depan depan Bersatu di Sabah memandangkan parti berkenaan tidak mempunyai akar umbi.

“Akar umbi parti itu berasal dari akar umbi UMNO yang lompat parti. Tanpa kuasa di kerajaan negeri, Bersatu bolehlah tutup kedai di Sabah,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Semalam, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan Bersatu Sabah mengumumkan keluar dari Bersatu dan sebulat suara mengambil keputusan menjadikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai komponen parti tempatan.

Beliau yang juga Pengerusi Bersatu Sabah berkata, keputusan itu diambil selepas mempertimbangkan landskap politik negara ketika ini.

Mohd. Puad turut memberi perbandingan mengenai situasi yang berbeza dihadapi UMNO di Sabah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di mana seramai 21 ketua bahagiannya menyertai Bersatu.

Menurut beliau, hanya tinggal tiga ketua UMNO bahagian yang istiqamah iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan), Datuk Yakub Khan (Sepanggar) dan Datuk Raime Unggi (Tenom).

“21 Bahagian itu dipangku oleh mereka yang baharu termasuk dua wanita. Apakah UMNO Sabah mati?

“UMNO Sabah bangkit semula dan menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Itu maknanya UMNO Sabah berakar umbi,” jelasnya. – MalaysiaGazette