Wan Saiful.

TASEK GELUGOR – Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan pengunduran Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor tidak menjejaskan kepimpinan parti.

Sebaliknya, Bersatu sendiri mempunyai pengalaman terdahulu apabila tokoh paling besar dalam parti, Tun Dr Mahathir Mohamad keluar parti diikuti anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahaya bagi membentuk parti Pejuang.

“Bersatu sudah beberapa kali melihat situasi keluar masuk parti sebelum serta selepas Pilihan Raya Umum (PRU) malah pengalaman kita lihat keluar parti hilang deposit manakala yang kekal menang.

“Jadi bagi saya, keluar parti ini lumrah namun bagi Bersatu di Sabah ia akan kekal berfungsi dengan kepimpinan baru.

“Tidak perlu bimbang kerana pemimpin atasan yang lepaskan jawatan untuk pergi ke parti lain akan ada pengganti,” katanya ketika diminta mengulas berhubung situasi yang melanda Bersatu Sabah ketika ini.

Wan Saiful bertemu penduduk Kampung Lubuk Meriam.

Terdahulu, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan peniaga serta penduduk yang mengalami masalah pencemaran debu di Kampung Lubuk Meriam di sini hari ini.

Mengulas lanjut Wan Saiful berkata, penyusunan pimpinan baru akan dilaksanakan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama Naib Presiden Bersatu Sabah yang juga Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee.

“Struktur organisasi Bersatu jelas bahawa penubuhan, pembubaran dan pendaftaran peringkat bahagian di bawah kuasa Majlis Pimpinan Tertinggi.

“Kalau ketua keluar timbalan naik, timbalan keluar, naib akan naik jadi kita ada proses prosesnya.

“Jadi saya juga berpandangan mungkin agak keras terhadap hal ini kerana bagi saya mereka yang menjual prinsip perjuangan parti untuk mengekalkan atau mendapatkan jawatan, saya letakkan satu kategori yang sama dengan (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi iaitu menjual prinsip parti semata mata untuk pegang jawatan,” ujarnya.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan, Hajiji mengumumkan keputusan keluar parti selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

Ia selepas mereka menyertai Kerajaan Perpaduan menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Parti Warisan (Warisan).

Hajiji dilaporkan berkata, kerajaan negeri ditunjangi GRS-BN juga mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette