Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan tetamu semasa hadir pada Program Pertemuan bersama Mahabbah Ulama dan Asatizah di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 11 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah memberi jaminan kepada mana-mana pihak yang berdepan dengan kes mahkamah untuk membebaskan mereka.

Beliau berkata, ia hanya boleh dilakukan sekiranya individu-individu terbabit dilepaskan daripada pertuduhan oleh hakim yang adil dan saksama.

“Saya tidak pernah beri jaminan kepada sesiapa menyatakan untuk kita lepas daripada hukuman sekiranya diputuskan oleh hakim yang bebas dan adil.

“Kalau saya mahu kompromi, saya sudah jadi perdana menteri bertahun-tahun dahulu,” katanya berucap di Kompleks Seri Perdana hari ini.

Terdahulu Anwar hadir dalam Program Pertemuan Mahabbah bersama ulamak dan asatizah.

Pada masa ini, individu dalam kerajaan yang mempunyai kes di mahkamah adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini dalam peringkat membela diri terhadap dakwaan kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah RM17.9 juta.

Pada September lalu, Timbalan Perdana Menteri itu dilepas dan dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Dalam pada itu, Anwar sudah menemui semua pihak berkuasa untuk menyatakan pendirian tegas itu termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

“Begitu juga kebebasan, profesionalisme badan-badan penguatkuasaan, saya ada beberapa pertemuan SPRM, Peguam Negara dan lain-lain institusi yang memberikan gesaan yang sama,” katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu mahu membuktikan ada orang Melayu dan anak Melayu yang menggunakan kuasanya untuk menjaga dan membela nasib rakyat terbanyak.

“Saya nak buktikan bahawa orang yang percaya kepada Islam itu dihormati dan diyakini kerana prinsip rahmah dan keadilan yang ditegakkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast