Wong Chee Hung

KOTA KINABALU – Tidak mudah berputus asa merupakan kunci kepada kejayaan Wong Chee Hung, 24, graduan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) yang berjaya menerima Anugerah Emas Naib Canselor pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-24.

Chee Hung yang menerima Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Kepujian (Pengkomputeran Perniagaan) dinobatkan sebagai penerima anugerah itu selepas mencatatkan keputusan yang cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.85.

Anak kelahiran Ipoh, Perak ini turut mencipta kenangan manis dengan memperoleh Anugerah Dekan selama tujuh semester sepanjang pengajiannya di UMS.

Menceritakan tips kejayaannya, Chee Hung berkata, dia melakukan aktiviti mengulang kaji pelajaran pada waktu malam kerana waktu tersebut beliau mudah mengingati tajuk dengan menulis dan membaca secara kuat.

“Saya juga merancang sebelum melaksanakan sebarang perkara dengan mengemukakan soalan apa, bagaimana dan mengapa perkara tersebut perlu dilakukan,” katanya.

Beliau juga berpegang dengan prinsip, jika mencuba kamu ada peluang, jika berputus asa kamu tidak akan dapat apa-apa.

Selain pencapaian akademik, beliau juga bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum dengan menyertai Pertandingan Programming League National pada tahun 2020 dan pasukan UMS telah berjaya mendapat tempat pada kedudukan 50 terbaik.

Tambah Chee Hung, interaksi antara ahli keluarga, pensyarah dan rakan-rakan juga memainkan peranan dalam menaikkan motivasi belajar sepanjang pengajian beliau di UMS.

”Saya amat berterima kasih kepada keluarga yang sentiasa memberikan sokongan penuh selama ini. Setinggi penghargaan juga kepada penyelia projek tahun akhir saya, Dr. Goh Say Leng. Tanpa sokongan beliau saya mungkin tidak dapat menyiapkan projek yang bertajuk ‘Genetic Algorithm for Course Timetabling in UMSKAL,” katanya.

Tambahnya, hasil projek tahun akhir ini telah diterbitkan dalam 2022 IEEE 18th International Colloquium on Signal Processing & Application (CSPA).

Chee Hung berkata, buat masa sekarang, dia mahu mencari pekerjaan dan setelah stabil saya akan memulakan perniagaan sendiri.

Untuk rekod, seramai 4,298 graduan UMS bagi tahun 2022 diraikan pada Majlis Konvokesyen ke-24. – MalaysiaGazette