Setiausaha Agung Parti Gerakan, Mak Kah Teong bercakap pada sidang media di Menara PGRM di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) memberi tempoh 24 jam kepada seorang Youtuber, Cleo Hoo untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.

Setiausaha Agung Parti Gerakan, Mak Kah Teong berkata, perkara itu dituntut berhubung video yang mengatakan sekiranya Perikatan Nasional (PN) tadbir Malaysia, negara akan menjadi seperti Afghanistan.

Beliau mendakwa perkara tersebut adalah tuduhan palsu, fitnah dan menimbulkan provokasi.

“Gerakan tidak berniat membuat laporan polis, tetapi kita menyeru Cleo Hoo mohon maaf secara terbuka kerana memberikan kenyataan yang salah dan bercanggah dengan fakta.

“Dari segi undang-undang, kenyataan ini bercanggah dengan akta komunikasi dan multimedia di bawah seksyen 4, Akta Hasutan atau Seksyen 499 Kanun Keseksaan.

“Jangan buat kenyataan tidak bertanggungjawab sesuka hati khususnya pada PN dan mencalar imej agama persekutuan,” katanya pada sidang media tuntutan permohonan maaf daripada Cleo Hoo di Menara PGRM, di sini hari ini.

Katanya, tiga isu yang dibangkitkan dalam video berkenaan sekiranya PN mentadbir negara ialah semua bukan Islam terpaksa tukar ke agama Islam, nama bukan Islam tukar kepada nama Islam dan tidak boleh jual dan makan daging khinzir seperti di Kelantan.

“Saya ingin membalas hujahan tersebut dengan menegaskan kesemua itu adalah palsu . Sehingga kini di Kelantan dan Terengganu, daging khinzir boleh dijual dan dibeli orang bukan islam.

“Manakala kenyataan menukar nama dan agama kepada agama Islam merupakan hasutan kerana dari segi perlembagaan persekutuan, perkara 11 iaitu kebebasan beragama. Dalam Islam juga tiada paksaan untuk beragama,” katanya.

Jelasnya, PN menerima kerajaan yang telah ditubuhkan sekarang dan akan memainkan peranan sebagai pembangkang. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast