Mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bercakap kepada media selepas Majlis Serah Tugas di Kemeterian Kesihatan di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 12 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berharap pelaksanaan Kertas Putih Kesihatan dan Dasar Generasi Penamat (GEG) menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok, dapat diteruskan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Khairy berkata, kedua-dua perkara telah dibangkitkan dalam pertemuan sebelum sesi penyerahan Nota Serah Tugas Bekas Menteri Kesihatan kepada Menteri Kesihatan, di sini hari ini.

“Kertas putih ini adalah penting untuk reformasi sistem kesihatan kita untuk jangka masa panjang dan ini bukan hasil kerja saya tetapi hasil kerja semua pakar yang terlibat dalam perbincangan dan juga sesi libat urus yang telah kita buat,” katanya selepas sesi penyerahan Nota Serah Tugas Menteri Kesihatan di sini hari ini.

Beliau berkata, Kertas Putih ini penting dalam melaksanakan perubahan terhadap sistem kesihatan awam untuk mengelakkan sumber yang tidak mencukupi bagi menampung beban penyakit di masa hadapan terutama dari segi sumber manusia, infrastruktur, kemudahan dan aspek peruntukan. – BERNAMA