SEBERANG PERAI – Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) akan menutup lorong tol Plaza A Bandar Cassia di sini, selama dua jam esok, bagi latihan simulasi kecemasan.
Ketua Pegawai Eksekutif Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), Faisal Shahbudin berkata, penutupan itu akan dilakukan bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.
Jelasnya, sepanjang tempoh itu, pengguna dari Lebuhraya PLUS ke pulau (Bayan Lepas / Batu Maung) akan dilencongkan ke Plaza B Bandar Cassia.
“Latihan simulasi itu bertujuan untuk menilai kesiapsiagaan dan tindak balas JKSB, pasukan kecemasan serta agensi berkaitan dalam menguruskan situasi kecemasan di lebuhraya bagi mengelak sebarang kejadian tidak dijangka kepada pengguna JSAHMS.

“Malah, latihan sebegini dijalankan secara berkala bagi menilai tahap kesiapsiagaan kakitangan JKSB dan agensi yang berkaitan memandangkan keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa menjadi keutamaan kami,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan agar mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh petugas JKSB ketika latihan dijalankan.
Pengguna juga boleh menghubungi Hotline JKSB di talian 1300-30-2828 untuk mendapatkan maklumat trafik atau ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan. – MalaysiaGazette
















