Najib Razak

Kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin boleh dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur jika Mahkamah Persekutuan membenarkan semakan kes berkenaan yang ditetapkan dengar pada 19 Januari tahun depan.

Panel-panel hakim yang akan mendengar semakan itu pada pada 19, 20 dan 26 Januari tahun depan boleh membuat keputusan sama ada rayuan Najib akan didengar semula di Mahkamah Persekutuan atau boleh memerintahkan perbicaraan semula diadakan di Mahkamah Tinggi KL dihadapan hakim lain.

Sebelum ini, kes itu yang didengar Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang kini merupakan hakim Mahkamah Rayuan yang telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib bagi tujuh kesalahan rasuah membabitkan dana RM42 juta milik SRC pada 28 Julai 2020.

Najib dilaporkan memohon kes itu dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi dengan alasan Hakim Mohd Nazlan sepatutnya menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes terbabit berikutan terdapat dakwaan bahawa Mohd Nazlan terbabit dalam permohonan pinjaman syarikat berkaitan 1MDB ketika berkhidmat sebagai setiausaha syarikat Maybank dan penasihat undang-undang kumpulan bank itu.

Persoalan apakah akan berlaku jika semakan itu ditolak? Seorang peguam enggan dinamakan menjelaskan jika Mahkamah Persekutuan menolak semakan itu, maka Najib akan tetap berada di penjara Kajang sehingga mendapat pengampunan diraja.

Jika Najib gagal mendapat pengampunan yang dipohon kali pertama iaitu pada awal September lalu maka beliau hanya boleh memfailkan semula permohonan pengampunan selepas tiga tahun.

Ironinya sepanjang perbicaraan yang bermula pada April 2019 di Mahkamah Tinggi KL, tiada satu keterangan diambil daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low kerana hanya beliau sahaja yang dapat menjawab mengapa jutaan dana SRC disalurkan ke akaun peribadi Najib.

Adakah bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan dalam perbicaraan itu mencukupi untuk menghukum Najib sedangkan hanya Jho Low dapat menjawab mengapa jutaan dana SRC disalurkan ke akaun Najib?

Satu-satunya alasan Najib bahawa beliau percaya RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaunnya adalah derma daripad Raja Arab Saudi disebabkan perkara itu telah diberitahu oleh Jho Low.

Pihak pendakwaan berkata sukar untuk dipercayai alasan itu datang daripada seorang lelaki yang memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tetapi soalnya adakah pendakwaan sebenarnya mengheret Jho Low ke muka pengadilan bagi membuktikan dakwaan selain menafikan kenyataan?

Yang membuat penafian itu adalah pendakwaan dan bukannya Jho Low.

Juga timbul persoalan jika tidak berjaya membawa Jho Low, apa pula ceritanya dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil yang dilantik sebagai pemegang mandat bagi lima akaun AmIslamic Bank milik Najib juga telah meninggalkan negara pada 7 Mei 2018, dua hari sebelum PRU-14?

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Rosli Hussain ketika berlangsungnya perbicaraan kes ini berkata, pihaknya merakamkan percakapan Nik Faisal di Jakarta pada 17 Oktober 2015 dan Jho Low di Abu Dhabi pada 27 November tahun sama.

Dakwa Rosli, disebabkan berjaya merakamkan percakapan daripada kedua-dua individu terbabit, pihaknya percaya Nik Faisal dan Jho Low akan kembali ke Malaysia bagi memberikan keterangan.

Susulan itu juga SPRM tidak meletakkan Nik Faisal dan Jho Low di bawah bon jaminan.

Bagaimanapun, Nik Faisal dan Jho Low berjaya melarikan diri dan gagal dikesan pihak berkuasa sehingga kini dan tidak pernah hadir sebagai saksi.

Dalam pada itu, penulis yang juga telah mengikuti kes ini dari awal perbicaraan difahamkan andainya semakan kehakiman ini ditolak, Najib perlu menjalani hukuman penjara sehingga mendapat pengampunan diraja.

Namun, peguam Najib pastinya tidak akan berhenti setakat itu. Mungkinkah akan ada gesaan supaya diadakan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk memastikan setiap ruang bagi mendapatkan keadilan buat Najib dimanfaatkan sepenuhnya. – MalaysiaGazette

 

 

1 Komen

Comments are closed.