PEKAN – Universiti Malaysia Pahang (UMP) memeterai perjanjian bersama dengan lapan industri pembangunan penyelidikan dan pembelajaran berasaskan kerja (WBL) yang bakal memberi manfaat melahirkan graduan holistik.
Naib Canselor UMP, Prof. Ts. Datuk Dr. Yuserrie berkata, pihak industri terlipat merupakan Kaneka (Malaysia) Sdn Bhd; MZR Global Sdn Bhd; Cybersecurity Malaysia; MR OSH Solution; Singularity Aerotech Asia Sdn. Bhd; Zen Consult; Pusat Kutipan Zakat Pahang dan BI Technologies Corporation Sdn Bhd.
“Kerjasama dengan pihak Kaneka (Malaysia) Sdn Bhd melibatkan elemen artificial intelligence (AI), Internet of Things (IoT), Virtual Reality (VR) dan sistem keselamatan.
“Manakala kerjasama dengan MR OSH Solution membabitkan pembangunan dalam sistem aplikasi mobile apps HSE dan BI Technologies Corporation Sdn Bhd. melibatkan kolaborasi dalam WBL.
“Program pembelajaran berasaskan pekerjaan atau WBL ini akan memberi pendedahan industri kepada pelajar di sepanjang pengajian mereka,” katanya.
Tambah Dr. Yuseerie, inisiatif tersebut selaras dengan Pelan Strategik UMP 2021-2025 iaitu inovasi dengan kerjasama industri dalam usaha universiti untuk melahirkan graduan yang boleh mengaplikasikan teori yang dipelajari di universiti dalam penyelesaian masalah praktikal sebenar di industri.
Beliau percaya melalui kerjasama itu, kakitangan dan penuntut dapat didedahkan kepada teknologi terkini, pengetahuan dan pelbagai kemahiran yang tidak ternilai daripada industri.
“Pada masa yang sama meningkatkan pengalaman pembelajaran mereka melalui inovasi akademik dan penyelidikan. Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada pelajar untuk berinteraksi dan bekerja dengan rakan industri mengenai tugasan dan projek untuk mengembangkan kemahiran mereka,” katanya.
Pada kali ini program dilaksanakan hasil kerjasama Bahagian Kolaborasi Industri & Masyarakat dan Jabatan Penyelidikan dan melibatkan Fakulti Komputeran, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik & Elektronik dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam.
Dalam majis menandatangani kerjasama itu, Dr. Yuserrie mewakili UMP manakala wakil industri diwakili Penolong Pengurus Besar Kaneka (Malaysia) Sdn Bhd, Ahmad Kamari Nordin, Pengerusi MZR Global Sdn Bhd, Dr. Mohd Fauzi Shaffie dan Ketua Konsultan MR OSH Solution, Muhammad Rushdi Abdul Rahman.
Turut sama hadir Pemangku Ketua Bahagian Cybersecurity Malaysia, Mohd Zabri Adil Talib; Ketua Pegawai Eksekutif Singularity Aerotech Asia Sdn Bhd, Hafeiz Murshidie Hasan; Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Korporat Pusat Kutipan Zakat Pahang, Che Samsol Ibrahim; Pengurus Besar BI Technologies Corporation Sdn Bhd., Mohd Podzi Mahmud dan Ketua Jurutera Zen Consult, Ir Mohd Zamany Hasan. – MalaysiaGazette