Gambar hiasan rogol, dera
Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang wanita terselamat daripada menjadi mangsa rogol seorang lelaki ketika menggunakan laluan pejalan kaki belakang Taman Tasik Kubang Gajah di Temerloh dekat sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff dalam kenyataannya memaklumkan, kejadian berlaku pada 9 Disember lalu ketika mangsa selesai membuat senaman di kawasan riadah terbabit.

“Dalam kejadian lebih kurang pukul 7 malam semasa mangsa selesai membuat senaman di laluan pejalan kaki belakang Taman Tasik Kubang Gajah, seorang lelaki disyaki bangsa Melayu memakai pelitup muka cuba melakukan rogol ke atas mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Mohd Azhar, mangsa yang berusia 27 tahun itu berjaya melepaskan diri dari suspek sebelum pergi ke balai polis membuat laporan.

“Hasil siasatan pihak polis telah berjaya menimbulkan lakaran gambar suspek iaitu berumur awal 30-an dengan ketinggian kira-kira 170 sentimeter dan berkulit gelap,” tambahnya.

Lakaran polis rupa suspek lelaki yang didakwa cuba merogol seorang wanita Taman Kubang Gajah, temerloh baru-baru ini.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan iaitu cubaan melakukan rogol.

Dalam pada itu, polis turut menasihati orang ramai supaya beriadah secara berkumpulan dan tidak beriadah di tempat sunyi seperti taman rekreasi, taman tasik dan sebagainya terutama selepas lewat petang bagi mengelakkan kejadian berulang.

Polis juga menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu agar menyalurkan maklumat tersebut kepada polis di talian 09-271 6222 atau e melĀ  [email protected] dan mana-mana balai polis yang berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast