KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang mahu mendapatkan keuntungan tambahan RM15,000 daripada urusan pertukaran mata wang dolar Amerika miliknya ditipu oleh seorang warga Lubnan di Ampang Point dekat sini hari ini.
Suspek yang dikenali melalui seorang rakannya itu merampas beg sandang mangsa yang berisi wang tunai USD$30,000 ketika mereka mengadakan pertemuan.
Suspek kemudiannya melarikan diri dengan seorang lagi rakannya yang menunggu di dalam kereta tidak jauh dari lokasi kejadian, kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak.
Menurutnya, polis pada jam lebih kurang 12.30 tengah hari ini menerima laporan daripada mangsa mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12.30 petang.
“Apabila sampai berdekatan dengan Restoran Naili’s Place bersebelahan dengan premis RHB Bank Ampang Point, pengadu dan rakan bersama suspek telah turun dari kereta untuk tujuan perbincangan penukaran wang.
“Setelah persetujuan dicapai dengan suspek, pengadu telah mengeluarkan bungkusan mengandungi wang tunai sebanyak USD$30,000 dari beg sandang sambil diperhatikan oleh suspek.
“Sebaik bungkusan berisi wang dikeluarkan, suspek bertindak merampas wang tersebut lalu membawanya lari menuju ke sebuah kereta lain disyaki jenis Toyota Vios yang dipandu oleh seorang lelaki yang disyaki rakan sejenayah suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohamad Farouk, siasatan polis di lokasi kejadian mendapati suspek turut meninggalkan wang ringgit Malaysia disyaki palsu di lokasi sebelum lari menghilangkan diri bersama wang milik pengadu.
Katanya, kertas siasatan kes telah dibuka di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan merompak berkumpulan tanpa senjata.
Jika disabit kesalahan, suspek boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat.
“Polis juga sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 489C Kanun Keseksaan bagi kesalahan memiliki mata wang kertas palsu dan jika disabit kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan yang boleh sampai 10 tahun.
“Polis juga sedang melakukan siasatan ke atas rakaman kamera litar tertutup di lokasi bank tersebut untuk mendapat gambaran jelas mengenai suspek dan insiden jenayah itu bagi membantu siasatan,” katanya lagi.
Polis turut mempergiatkan usaha untuk mengesan dan menjejaki suspek yang menghilangkan diri bersama wang tunai dolar Amerika itu. – MalaysiaGazette