Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri tidak terjejas sama ada jika empat ahli Gabungan Rakayat Sabah (GRS) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang keluar parti itu perlu mengosongkan kosongkan kerusi mereka atau sebaliknya.

Ia kerana, Anwar sudah ada sokongan 148 ahli Parlimen.

Maka kehilangan empat kerusi tidak mempunyai impak besar, kata pentadbir Facebook Najib Razak.

Beliau mengulas situasi semasa apabila kepimpinan Bersatu Sabah bertindak keluar parti baru-baru ini.

”Ada yang kata empat ahli GRS yang keluar dari parti Bersatu perlu kosongkan kerusi Parlimen seperti di bawah akta lompat parti. Ada yang kata mereka tidak perlu sebab mereka tanding atas tiket GRS dan bukan parti Bersatu.

”Ada juga yang kata mereka dah lama keluar dari Bersatu sebelum PRU15 dan merupakan ahli langsung GRS dan bertanding atas tiket GRS.

”Biarpun Bersatu mahu panjangkan isu ini dan bertekad untuk 4 ahli Parlimen tersebut kosongkan kerusi Parlimen mereka, tetapi isu ini sebenarnya tidak memberi sebarang manfaat bagi rakyat dan negara,” katanya.

Tambahnya, sekiranya empat ahli Parlimen itu perlu kosongkan kerusi Parlimen mereka dan empat PRK akan dijalankan, GRS bakal menang mudah.

Ia mengambil kira pengaruh Perikatan Nasional-Pas di Sabah adalah sangat terhad dan sekiranya parti-parti lain dalam kerajaan perpaduan seperti Pakatan Harapan, Parti Warisan Sabah, Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat serta Barisan Nasional memberi laluan kepada GRS, ujarnya. – MalaysiaGazette