bekas Menteri Kesihatan
Lukanisman Awang Sauni berucap merasmikan forum Hari Liputan Kesihatan Sejagat Malaysia 2022 di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Satu platform khusus akan disediakan dalam masa terdekat bagi membolehkan bekas-bekas Menteri Kesihatan menyalurkan pandangan dan maklumat bagi menambah baik sistem kesihatan di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, pihaknya ambil maklum bahawa Tan Sri Dr. S. Subramaniam, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad dan Khairy Jamaluddin bersedia untuk membantu.

“Semalam Khairy telah berjumpa dengan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dan beliau bersedia memberi pandangan dan maklumat.

“Begitu juga dengan Dr. Subramaniam dan Dr. Dzulkefly,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum Hari Liputan Kesihatan Sejagat Malaysia 2022 di sini, hari ini.

Dalam forum tersebut, Dr. Subramaniam, Dr. Dzulkefly dan Khairy selaku ahli-ahli panel berkongsi tentang pengalaman masing-masing serta cabaran yang dihadapi sepanjang menerajui Kementerian Kesihatan dahulu.

Antara perkara yang dibangkitkan termasuk isu pembiayaan kos jagaan kesihatan yang semakin meningkat, cabaran menangani penyakit tidak berjangkit dan kempen antimerokok.

Lukanisman menambah, Kementerian Kesihatan akan meneliti segala pandangan yang disampaikan oleh ketiga-tiga bekas Menteri Kesihatan berkenaan dalam forum itu.

Menurut beliau, kementeriannya juga dalam proses untuk mengkaji semua konteks yang diperoleh dalam Kertas Putih Kesihatan.

“Seperti yang disebut oleh Dr. Subramaniam tadi, sudah pasti saya akan guna pakai untuk menambah baik dan memberi perkhidmatan berkesan kepada rakyat,” jelasnya.

Lukanisman berkata, usaha itu juga selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melihat semua kementerian termasuk Kementerian Kesihatan tidak bekerja secara silo dalam menangani permasalahan rakyat. – MalaysiaGazette