Azman Hashim menyampaikan Anugerah BEM kepada salah seorang penerima.

KOTA KINABALU – Lima graduan Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah menerima Anugerah Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) pada Majlis Konvokesyen UMS ke-24.

Mereka terdiri daripada graduan Program Kejuruteraan Awam, Yee Yi Zhen, Yap Ken Vun (Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik), Mohd Suhailin Siman (Kejuruteraan Kimia), Evans Goh (Kejuruteraan Mekanikal), dan Priveqa Yaashini Gopalan (Kejuruteraan Minyak dan Gas).

Kesemua mereka masing-masing turut menerima wang RM400.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan Pro Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim sambil disaksikan Naib canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor.

Dalam pada itu BEM dalam satu kenyataan memaklumkan anugerah berkenaan bertujuan mewajibkan para graduan kejuruteraan mendaftar dengan pihak mereka sebaik sahaja menamatkan pengajian.

Ia bagi meningkatkan kesedaran graduan peri pentingnya pendaftaran itu apabila menceburkan diri dalam bidang pekerjaan nanti.

“BEM memberikan sejumlah RM10,000 bagi tempoh lima tahun bermula pada tahun 2018. Setiap tahun sebanyak RM2000 diagihkan untuk lima program dan setiap pelajar yang dipilih akan menerima wang tunai sebanyak RM400,” ujar kenyataann itu lagi.

Untuk rekod, pelajar yang terpilih merupakan dalam kalangan pelajar tahun akhir prasiswazah bagi setiap program kejuteraan yang mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif  (PNGK) 3.60 ke atas dan memiliki sahsiah yang baik. – MalaysiaGazette