Istana Kehakiman

PUTRAJAYA – Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita memperoleh kebenaran bagi meneruskan rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh warganegara Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim juga membenarkan permohonan kebenaran merayu oleh wanita yang dilahirkan di  India, Mahisha Sulaiha Abdul Majeed, yang mahu mendapatkan deklarasi sebagai warganegara Malaysia.

Keputusan itu dibuat selepas Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin dan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi yang masing-masing mewakili kerajaan dalam kes Family Frontier dan Mahisha memaklumkan mahkamah bahawa mereka tidak membantah permohonan kebenaran itu.

Abang Iskandar yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Mary Lim Thiam Suan membenarkan permohonan itu membabitkan tiga persoalan undang-undang yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan bagi kedua-dua kes.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan permohonan kerajaan untuk memasukkan tiga lagi persoalan undang-undang.

Dalam kes sivil, litigan perlu mendapatkan kebenaran sebelum meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Antara persoalan undang-undang yang dibangkitkan ialah sama ada seseorang yang dilahirkan oleh ibu warganegara Malaysia di luar Persekutuan adalah warganegara Malaysia mengikut kuat kuasa undang-undang menurut Perkara 14(1)(b) yang dibaca bersama Bahagian II Seksyen 1(b) Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Pada 5 Ogos lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu warga Malaysia dengan pasangan warga asing berhak mendapat kerakyatan Malaysia secara automatik.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Sept 2021.

Family Frontiers dan enam wanita rakyat Malaysia yang berkahwin dengan warga asing dengan anak kelahiran luar negara memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi, memohon supaya anak mereka berhak mendapat kerakyatan Malaysia.

Mereka juga memohon perintah mahkamah agar semua agensi kerajaan yang berkaitan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan kedutaan Malaysia agar mengeluarkan dokumen berhubung kerakyatan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Sementara itu dalam kes Mahisha, Mahkamah Rayuan pada hari yang sama, menolak rayuan wanita itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2020 yang menolak saman yang difailkan beliau untuk mendapatkan deklarasi bahawa beliau berhak menjadi warganegara Malaysia.

Mahisha, 25, yang dilahirkan di India, beribukan rakyat Malaysia dan bapa warga India, telah memfailkan samannya melalui saman pemula, menamakan ketua pengarah JPN, menteri dalam negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Pada prosiding hari ini yang berlangsung secara dalam talian, peguam diketuai oleh Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Family Frontier dan enam ibu berkenaan manakala pasukan peguam diketuai Datuk Dr Cyrus Das mewakili Mahisha.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar, A. Surendra Ananth, Khoo Suk Chyi dan Wong Ming Yen bertindak sebagai amicus curiae atau sahabat mahkamah bagi Majlis Peguam manakala peguam Tay Kit Hoo sebagai peguam pemerhati bagi pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Peguam Denise Lim sebagai peguam pemerhati bagi Persatuan Peguam Wanita (AWL), Women’s Centre for Change (WCC), Sisters in Islam (SIS) dan Justice for Sisters (JFS). – BERNAMA