MELAKA – Seorang pelajar tahun akhir sebuah institut latihan kemahiran berdepan hukuman penjara 20 tahun di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, di sini atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang dikenali di media sosial, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Adib Hishamuddin, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan, pelajar jurusan elektrik itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan KS 1/5, Taman 1 Bukit Beruang, Melaka antara jam 4 petang hingga 9 malam, 14 November lalu.

Difahamkan tertuduh yang mengikuti latihan di institut kemahiran di Perak itu, mengenali mangsa melalui media sosial sejak beberapa bulan lalu.

Tertuduh turut berdepan satu lagi tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak sama di tandas awam dan bilik persalinan perempuan di sebuah kompleks tenis di Ayer Keroh pada jam 12 tengahari, 20 November lalu.

Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang boleh dipenjara 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, N. Sivashangari menawarkan jaminan RM10,000 kerana kesalahan berat dilakukan tertuduh terhadap kanak-kanak yang baharu berusia 11 tahun.

Tertuduh yang diwakili Peguam Andrew Lourdes dalam rayuannya bagaimanapun memohon kadar jaminan rendah dengan alasan anak guamnya masih belajar dan tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin selain diarah tidak menggangu mangsa dalam apa juga keadaan sehingga kes selesai.

Hakim Darmafikri menetapkan 11 Januari depan untuk tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette