zuhdi marzuki undi UMNO sokongan
Mohd Zuhdi Marzuki

KUALA LUMPUR – Pola pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) khususnya di Semenanjung jelas menunjukkan berlaku polarisasi undi mengikut kaum.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, kaum Melayu lebih cenderung mengundi Perikatan Nasional (PN) manakala kaum bukan Melayu lebih cenderung mengundi Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, kaum Melayu terutamanya di negeri-negeri lingkaran Melayu jelas memberi sokongan kepada PN, sehingga membolehkan gabungan parti politik itu menawan beberapa kerusi tradisi Barisan Nasional (BN) dan PH meskipun berlaku pertembungan tiga penjuru.

“Sebagai contoh di Parlimen Alor Setar, PN dianggarkan meraih 74 peratus sokongan kaum Melayu. Di Padang Serai yang baru dilakukan pengundian minggu lepas, dianggarkan PN memperolehi 87 peratus undi kaum Melayu.

“Jelas sekali berlaku gelombang besar sokongan pengundi Melayu terhadap PN di negeri-negeri ini,” katanya dalam hantaran Facebook, malam tadi.

Mohd. Zuhdi menambah di kawasan bandar dan pinggir bandar sekitar Lembah Klang pula, pola pengundian kaum Melayu juga tidak kurang tingginya kepada PN.

Beliau memberitahu, petunjuk yang jelas berkaitan gelombang tersebut dapat dilihat melalui pertambahan besar undi yang diperolehi oleh calon-calon PN di kerusi-kerusi majoriti Melayu di kawasan-kawasan bandar seperti Wangsa Maju dan Setiawangsa.

“Di kawasan-kawasan pinggir bandar sekitar Lembah Klang ada kerusi yang dimenangi oleh PN seperti Kuala Langat dan Kapar.

“Dianggar sokongan pengundi Melayu kepada PN di Kuala Langat mencapai sehingga 72 peratus dan di Kapar dianggarkan 59 peratus,” jelasnya.

Bagi kaum bukan Melayu pula, kata Mohd. Zuhdi, jelas sekali pada PRU-15 mereka memberikan undi kepada PH dan di seluruh Semenanjung, sokongan kaum Cina terhadap calon-calon PH dianggarkan mencecah 90 peratus atau lebih manakala sokongan pengundi India terhadap pakatan politik itu melebihi 80 peratus.

Menurut beliau, secara umum, peratusan sokongan kaum Cina dan India terhadap PH semakin bertambah berbanding PRU-14 manakala di Semenanjung, sokongan mereka kepada BN dan hampir sifar kepada PN.

“Jelas sekali, PH menang disebabkan sokongan pengundi-pengundi bukan Melayu,” katanya.

Mohd. Zuhdi berpandangan, BN berpotensi memenangi lebih daripada 30 kerusi sekiranya pola pengundian bercampur-campur.

Beliau berkata, pola pengundian mengikut kaum pada PRU-15 secara tidak langsung menjadi petunjuk berlaku perpecahan kaum dalam politik Malaysia.

“Kajian lebih lanjut diperlukan untuk mengetahui mengapa polarisasi ini berlaku,” ujarnya.

Mohd. Zuhdi memberitahu, kecenderungan politik di Sabah dan Sarawak telah berubah selepas PRU-14 di mana pengundi-pengundi mula dipengaruhi oleh sentimen kewilayahan, sehingga menekan parti-parti di kedua-dua negeri ini keluar dari gabungan politik nasional.

Beliau menjelaskan, gabungan politik bercitra tempatan telah dibentuk seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Citra nasional tidak lagi mendapat sambutan di Sabah dan Sarawak, selepas parti-parti di kedua-dua negeri itu keluar dari BN.

“Hari ini, gabungan politik dari Sabah dan Sarawak menjadi penentu gabungan mana di Semenanjung yang boleh membentuk kerajaan,” katanya.

Mohd. Zuhdi berkata, sama ada disedari atau tidak, perkembangan polarisasi undi berdasarkan kaum di Semenanjung dan pengaruh kewilayahan yang semakin kuat dalam politik Sabah dan Sarawak, memberi petunjuk bahawa kedudukan integrasi nasional sedang tergugat.

Menurut beliau, situasi itu sebenarnya telah bermula sejak PRU-12 lagi dan ia memuncak pada PRU-15.

“Sudah pasti perkembangan seperti ini, perlu mendapat perhatian semua pihak supaya persoalan perpaduan kaum dan integrasi nasional dapat ditangani segera.

“Ia adalah seperti bom jangka yang boleh meletup apabila sampai masanya sekiranya tidak dipadamkan segera,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Jawapannya ialah kerana wujudnya manusia seperti Hadi Awang yg menggunakan sentimen agama dan kaum utk menang…tu jaaa

Comments are closed.