Dr. Zaliha Mustafa

SEGAMAT – Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, beliau terbuka untuk melaksanakan dasar yang diguna pakai oleh menteri-menteri sebelumnya.

Dr. Zaliha juga percaya setiap Menteri Kesihatan mempunyai sasaran sama iaitu memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

“Ada orang bertanya sama ada saya boleh meneruskan sesetengah dasar Khairy Jamaluddin sebelum ini, saya rasa ini bukan satu masalah.

“Saya akan mengkaji dasar-dasar terbabit dan saya lihat tidak salah untuk meneruskan dasar yang sesuai untuk dilaksanakan,” katanya kepada China Press.

Dalam pada itu, Zaliha menyatakan keazaman untuk melawat institusi kesihatan di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, untuk memahami dan menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Dr. Zaliha berkata, selain mahu menambah baik kementeriannya, beliau juga mengingatkan diri untuk tidak melupakan keperluan rakyat.

Katanya, walaupun baru sahaja dilantik, tetapi rakyat telah mengemukakan pelbagai masalah berkaitan Kementerian Kesihatan melalui media sosial.

Jelasnya, masalah tersebut termasuk perkhidmatan dan kemudahan kesihatan serta penempatan doktor, termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Kami perlu memahami masalah terlebih dahulu sebelum boleh menyelesaikannya secara berkesan,” katanya.

Dalam wawancara dengan China Press, Dr. Zaliha antaranya ditanya tentang dua kematian membabitkan pesakit di Sarawak yang perlu menjelajah jauh untuk mendapat perkhidmatan kesihatan.

Beliau berkata, dua kes itu membabitkan perjalanan jauh seperti dari Lawas ke Miri yang perlu melepasi sempadan.

“Sana (Lawas) ada kemudahan kesihatan yang asas, tetapi perlu ditambah baik.

“Saya perlu memahami semua aspek termasuk kemudahan bangunan, pengangkutan dan tenaga petugas kesihatan untuk mengatasi masalah yang berlaku secara baik,” katanya. – MalaysiaGazette