Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tindakan dua lelaki yang membuat laporan polis palsu kononnya menjadi mangsa samun suspek tidak dikenali sebagai taktik untuk mengelak tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), berjaya dihidu dan diberkas polis.

Kedua-dua suspek warga tempatan itu telah ditangkap secara berasingan di kawasan Banting Kuala Langat pada Khamis dan Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 36 tahun dan 27 tahun.

Dalam kes pertama, pihaknya telah menerima laporan polis daripada suspek seorang pemandu lori pada 8 Disember lalu yang mendakwa telah disamun oleh dua dua lelakiĀ  menaiki motosikal di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Bunga Pekan 2, Banting di sini.

“Suspek mendakwa dia disamun dua suspek bersenjatakan parang dan mengakibatkan kerugian wang tunai berjumlah RM300, selain mendakwa dokumendokumen pengenalan diri dan buah telefon bimbit dilarikan dalam kejadian tersebut.

“Bagaimanapun, siasatan polis mendapati laporan yang dibuat individu itu sebenarnya palsu sebelum polis berjaya menjejaki dan memberkas suspek (pengadu) itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kes kedua bertarikh 13 Disember lalu pula, seorang operator pengeluaran sebuah kilang ditahan selepas membuat laporan kononnya menjadi mangsa samun di tepi jalan berdekatan lampu isyarat Bandar Mahkota Banting di sini.

Suspek dalam laporan itu mendakwa dia disamun dua lelaki menaiki motosikal selain kerugian melibatkan barangan peribadi seperti dokumen-dokumen pengenalan diri.

“Namun, hasil siasatan polis terhadap laporan polis suspek mendapati laporan dibuatnya palsu sebelum polis berjaya mengesan dan mencekup suspek.

“Kedua-dua suspek itu ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 395 dan 182 Kanun Keseksaan,” uajr beliau.

Jelasnya, sehingga kini polis Kuala Langat telah menerima sebanyak lima laporan palsu.

Mereka yang membuat laporan palsu ini kebanyakan mendakwa menjadi mangsa samun.

Bagaimanapun, siasatan dijalankan mendapati kejadian tersebut sebenarnya tidak berlaku sebagaimana yang dilaporkan, katanya.

Ujar Ahmad Ridhwan, faktor utama laporan palsu ini dibuat semata-mata bagi mengelakkan diri daripada dikenakan denda oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) kerana kehilangan kad pengenalan.

“Masyarakat dinasihatkan agar tidak sewenang-wenangnya membuat laporan palsu demi kepentingan diri sendiri disebabkan oleh kecuaian.

“Membuat laporan palsu merupakan kesalahan dibawah peruntukkan undang-undang dan dituduh di bawah Seksyen 182 KK (Kanun Keseksaan) yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam (6) bulan atau denda maksimum RM 2,000.00 atau kedua-duanya sekali,” tegas beliau. – MalaysiaGazette