Annuar Musa. Foto MUHD NA’IM, 15 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa telah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan Perikatan Nasional (PN) memberi jutaan ringgit kepada UMNO ketika Pilihan Raya Negeri Sabah.

Beliau berkata, SPRM telah menghubungi beliau minggu lepas berhubung dakwaan tersebut.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh yang dipecat daripada parti baru-baru ini berasa lega kerana dapat memberi keterangan kepada SPRM berhubung isu itu.

Beliau berkata, isu yang ditimbulkan di media sosial merupakan satu fitnah dan tidak berasas.

“Saya sudah pun memberikan kenyataan kepada SPRM minggu lepas. Saya sebenarnya sangat lega kerana sekali lagi fitnah yang di luar itu tidak dapat saya kawal.

“Dia kata saya masuk bilik tidur duit berlonggok-longgok, ambil duit berjuta-juta bawa duit ke mana. Patutlah kuat sokong Muhyiddin kerana Munyiddin beri duit.

“Buka Facebook masya-Allah, beristighfar saya tiap-tiap hari. Jadi bila SPRM panggil saya beri keterangan. Saya sangat-sangat suka hati dan saya telah beritahu jalan cerita sebenar yang telah lalui,” katanya.

Menurut Annuar, beliau akan terus memberikan kerjasama kepada SPRM kerana ia menjadi tanggungjawabnya untuk berbuat demikian.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan khas berhubung pemecatan beliau sebagai ahli UMNO serta penubuhan bandan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Nasional (MN) di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan SPRM sedang menyiasat dakwaan Annuar berhubung dakwaan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi UMNO jutaan ringgit bagi membantu parti itu ketika pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada 2020.

SPRM membuka kertas siasatan berhubung dakwaan bekas Setiausaha Agung UMNO itu dan akan memanggil Annuar dan Muhyiddin untuk disoal siasat.

Pada 21 November lalu, menerusi video di TikTok Annuar mendakwa Muhyiddin menemuinya di Sabah untuk memberikan ‘berpuluh juta’ ringgit.

Kenyataan bekas Ahli Parlimen Ketereh itu menimbulkan persoalan di media sosial dari mana datangnya wang tersebut itu.

Dalam video yang dimuat naik ke TikTok pada 21 Nov lalu, Annuar mendakwa Muhyiddin menemuinya di Sabah untuk memberinya “berpuluh juta” ringgit.

Pendedahan itu sekali gus menimbulkan persoalan di media sosial dari mana datangnya wang itu.

“Saya loncat naik atas kapal terbang pergi ke Sibu…tanya Muhyiddin, saya masuk dalam bilik tidur dia beritahu UMNO habis duit di Sabah, tak cukup duit. Berpuluh juta Muhyiddin bagi membantu UMNO Sabah,” kata Annuar dalam video itu.

Dalam video itu, Annuar berkata, dakwaan pengerusi Perikatan Nasional itu mahu ‘membunuh’ UMNO adalah palsu dan rekaan.-MalaysiaGazette