Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Foto AFFAN FAUZI, 09 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) setakat ini belum menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak berhubung kebocoran data pengguna dan kakitangan Air Asia.

“Setakat saya di sini dari pagi tadi saya tidak menerima apa-apa lagi (aduan data bocor)..phone pun tinggal dalam kereta,” kata menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan sama ada pihaknya menerima aduan berkenaan kebocoran data pengguna dan kakitangan AirAsia yang didedahkan semalam.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam kenyataan semalam mendedahkan siasatan dalaman pihak kementerian mendapati berlaku jenayah penggodaman oleh pihak luar.

Katanya, siasatan awal berhubung insiden ketirisan data peribadi lima juta penumpang dan kakitangan AirAsia mendapati berlaku serangan siber ke atas sistem pelayan syarikat penerbangan murah itu pada 12 November lalu berpunca daripada akses tanpa kebenaran yang mengakibatkan berlakunya serangan perisian tebusan.

Bagaimanapun, beliau berkata, perincian berhubung kes tidak dapat didedahkan kepada umum ketika ini sementara siasatan masih dijalankan bagi mengelakkan implikasi perundangan serta mengganggu siasatan.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menegaskan Kementerian Komunikasi dan Digital mengambil serius dakwaan berhubung insiden ketirisan data peribadi, akibat digodam oleh kumpulan penggodam yang dikenali sebagai Daixin.-MalaysiaGazette