Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (kiri) mendengar penerangan daripada timbalannya, Lim Hui Ying pada sidang media khas di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 15 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil pendekatan mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) bagi menyumbang idea dalam merangka dan menambah baik hala tuju pendidikan negara.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu diambil bagi membuat pendekatan lebih holistik melalui proses konsultasi dan musyawarah dengan rakan strategik serta semua pihak  berkepentingan.

“Saya akan mengaktifkan semula MPPK seperti yang termaktub bawah Akta Pendidikan 1996. Dengan adanya MPPK ini nanti diharapkan akan dapat menyumbang idea dan pandangan kepada Kementerian Pendidikan dalam merangka dan menambah baik hala tuju pendidikan negara.

“Perkara ini termasuk memikirkan kesinambungan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang akan berakhir pada 2025,” katanya pada sidang media khas di kementeriannya di sini hari ini.

Hadir sama adalah Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Datuk Pkharuddin Ghazali.

Tambah Fadhlina, KPM akan memastikan keseluruhan ekosistem pendidikan dilaksanakan mengikut proses yang ditetapkan dan berlandaskan Akta Pendidikan 1996 serta peraturan-peraturan berkaitan.

Ditanya sama ada MPPK akan diberikan nama baharu, Fadhlina bagaimanapun berkata, perkara tersebut belum diputuskan.

“Buat masa sekarang belum ada nama baharu lagi. Maka proses akan kita laksanakan dengan pelantikan yang menganggotai majlis itu dalam mada terdekat,” katanya.

MPPK akan dianggotai pemegang taruh dalam bidang pendidikan yang akan dapat menyumbang idea dan pandangan kearah KPM untuk menambah baik mutu pendidikan negara.

Sementara itu, KPM akan memberikan tumpuan kepada tujuh teras utama termasuk menjadikan komunikasi antara kementerian dan sekolah lebih telus. – MalaysiaGazette