Suasana sedih di Balai Polis Hulu Yam apabila mangsa tragedi tanah runtuh dibawa keluar dari lokasi kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 16 DISEMBER 2022.

BATANG KALI – Kira-kira 20 orang guru dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong serta ahli keluarga mereka adalah antara yang berada di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di sini, yang dilanda tanah runtuh awal pagi tadi.

Perkara itu disahkan oleh Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan U Chin Ong ketika ditemui pemberita di Balai Polis Hulu Yam Bharu hari ini.

U berkata mengikut maklumat diterimanya, setakat ini beberapa guru yang berjaya diselamatkan pihak berkuasa dihantar ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan.

“Ada juga dihantar ke Balai Polis Hulu Yam Bharu untuk menerima rawatan dan diambil keterangan,” katanya yang bergegas dari Selayang ke balai berkenaan selepas mengetahui mengenai kejadian itu.

U berkata guru sekolah itu bersama keluarga mereka ke tapak perkhemahan tersebut untuk bercuti selama tiga hari sejak Rabu lepas kerana merasakan kawasan berkenaan selamat.

“Mereka berkhemah sempena cuti persekolahan hujung tahun. Mereka patut pulang ke kediaman masing-masing pagi ini,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Hulu Yam, Muhammad Nabil Salehat, berkata kejadian tanah runtuh seumpama itu merupakan kali pertama berlaku di kawasan tersebut.

“Kali terakhir tanah runtuh berlaku di Serendah pada 2016 namun tidak seteruk ini,” katanya.

— BERNAMA