Polis Pinang menahan 31 individu dipercayai ejen bookie membabitkan kegiatan judi bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 menerusi Op Soga IX. - Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menahan 32 lelaki yang disyaki terlibat sebagai ejen bookie pertaruhan dalam perlawanan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua mereka ditahan dalam 19 serbuan Op Saga IX yang bermula 19 November hingga Rabu lalu.

Jelas beliau, mereka yang ditahan terdiri daripada 28 warga tempatan manakala empat warga asing.

“Dalam 19 serbuan itu juga, kita merampas wang tunai berjumlah RM64,873 yang dipercayai bagi aktiviti pertaruhan bola Piala Dunia.

“Turut dirampas 26 unit telefon bimbit termasuk kad sim, sebuah komputer riba, tujuh buah modem dan tujuh kertas catitan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu terlibat dalam menganjurkan dan menjalankan aktiviti pertaruhan haram berlandaskan undang-undang sedia ada. – MalaysiaGazette