Foto Facebook KDA FC.

KUALA LUMPUR – Pertahanan baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman mendedahkan faktor mahu kembali bekerjasama dengan Nafuzi Zain menjadi punca utama dia memilih bersama Sang Kenari pada musim 2023.

Menurut Afiq, dia pernah dilatih oleh Nafuzi semasa bersama Piala Presiden Kelantan pada tahun 2013 dan begitu memahami falsafah bola sepak yang digunakan Nafuzi.

Justeru, bekas pemain Melaka United dan Felda United ini sanggup menolak tawaran dari dua pasukan lain dengan memilih untuk bersama Kedah.

“Sebab saya memilih ke Kedah adalah kerana mahu bersama Nafuzi, seorang jurulatih yang saya amat kenali ketika bermain dengan skuad Piala Presiden Kelantan.

“Dia pada waktu itu bertindak penolong jurulatih dan cara dia bekerja begitu disenangi, malah saya sudah masak dengan apa yang dia mahukan sebagai seorang jurulatih.

“Selain itu, faktor Kedah yang merupakan satu nama besar dalam arena bola sepak negara turut membuatkan saya tidak berfikir lama untuk menerima Sang Kenari.

“Walaupun musim 2022 ada sedikit penurunan namun Kedah sentiasa memberikan cabaran kepada pasukan-pasukan utama di Liga Malaysia,” katanya.

Afiq menjadi tambahan terbaharu bagi Kedah pada musim 2023 selain itu beberapa pemain lain telah dibawa masuk oleh Nafuzi seperti Amirbek Juraboev, Manuel Ott, Fikri Che Soh dan Kalamullah Al-Hafiz.

Afiq sebelum ini merupakan antara tonggak utama Melaka United selama empat musim (2019-2022) dan pernah menyarung jersi Felda United pada dua musim berikutnya (2017-2018).

Kehadirannya dijangka mampu memberikan kestabilan di bahagian pertahanan kanan yang sebelum ini banyak bergantung kepada tonggak muda, Kamil Akmal.

Bagi saingan musim baharu, Afiq percaya Kedah mampu muncul sebagai salah satu pencabar kejuaraan selepas prestasi yang hambar pada 2022.

Dalam masa sama, dia berharap kehadirannya akan direstui peminat Kedah sambil berjanji akan berikan yang terbaik dalam tiap perlawanan.

“Di bawah Nafuzi, saya amat yakin sebenarnya Kedah boleh meraih sesuatu yang positif, lihatlah bagaimana pendekatan yang dibuat oleh beliau semasa di Terengganu.

“Saya juga harap penyokong Kedah akan sentiasa memeriahkan stadium bagi menaikkan semangat pemain-pemain dalam tiap perlawanan.

“Sebagai pemain, sudah tentu kehadiran penyokong yang ramai adalah satu perkara yang dimahukan malah aura di Stadium Darul Aman sentiasa luar biasa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast