Foto Instagram Nad Zainal.

KUALA LUMPUR – Tabung Kecemasan Nad Zainal yang dikendalikan Pertubuhan Kebajikan As Siddiq berjaya mengumpul RM270,000 bagi membantu membiayai kos perubatan dan rawatan pelakon popular itu.

Perkembangan terkini itu dimaklumkan pelakon dan rakan baik Nad, Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz menerusi hantaran video di Instagram (IG).

Beliau berkata, sebahagiannya sudah disalurkan kepada hospital untuk membiayai kos rawatan hospital dan selebihnya akan ditumpukan kepada rawatan dan ikhtiar lain.

Ungku Ismail juga tidak mahu timbul sebarang kekeliruan mengenai tabung itu kerana ada beberapa portal berita berita menggunakan poster dari Tabung Kebajikan As Siddiq, tetapi jumlah sumbangan yang dipaparkan adalah untuk tabung lain.

“Saya tak nak timbul sebarang kekeliruan kerana itu ada sedikit kurang tepat. Jumlah yang dapat dikumpul dari Pertubuhan Kebajikan As Siddiq untuk Tabung Kecemasan Nad Zainal adalah RM270,000.

“Dari situ, memang sudah ada perjanjian dan Nad pun tahu bahawa tiga peratus daripadanya akan diberikan kepada pertubuhan itu sebagai yuran pengurusan.

“Apa saja berkaitan rawatan untuk menyembuhkan Nad, maka kita akan guna duit dari sumbangan ini,” katanya.

Ungku Ismail berkata, selain rawatan moden, keluarga Nad juga berikhtiar menggunakan rawatan Islam.

Pada masa sama, beliau berkata, ikhtiar yang paling berkesan adalah bersedekah.

“Antara ikhtiar yang saya rasa paling mujarab sekali untuk menjaga mereka yang sakit ialah dengan amal atau bersedekah kepada orang lain. Jadi, kita infaq atas nama Nad, atas ikhtiar dan amalan untuk mengundang ubat mujarab kepada penyakitnya.

“Ada diinfaqkan kepada rumah anak yatim, masjid, pusat tahfiz dan orang-orang yang memerlukan. Itulah pecahan yang dibahagikan kepada beberapa bahagian.

“Selebihnya akan disalurkan kepada Nad untuk rawatan susulan dan pengurusan hariannya selepas ini,” katanya.

Menurut Ungku Ismail, berdasarkan nasihat doktor, ada beberapa situasi bakal berlaku terhadap Nad di mana dia tidak boleh berada dalam keadaan cergas terutamanya untuk bekerja semula.

“Dia perlu berehat di rumah dan mungkin ada beberapa kerja yang boleh dilakukan, contohnya berniaga dan sebagainya.

“Untuk menjalani penggambaran, memang tak boleh kerana perlu bergerak laju dan sebagainya. Apabila sumber pendapatan utama datangnya dari penggambaran (berlakon), jadi kita salurkan bantuan untuknya apabila dia tidak berdaya,” katanya.

Pada masa, Ungku Ismail turut berkongsi keadaan terkini Nad yang masih dalam proses pemulihan.

“Nad masih dalam proses pemulihan. Dia dalam keadaan baik, Alhamdulillah. Saya mohon anda semua terus doakan dia agar dia sembuh dan dilenyapkan segala penyakit dan kembali sihat seperti sedia kala.

“Dalam video terdahulu, saya ada jelaskan bahawa saya tak mahu terlalu kerap berkongsi berita terkini kerana dalam proses pemulihan ini, dia banyak berehat. Jadi, tidak ada banyak benda yang boleh saya kongsi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast