Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa ketika bercakap pada sidang media mengenai kejadian tanah runtuh yang berlaku di Father Organic Farm Batang Kali di Hospital Selayang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 16 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Setakat ini, seramai 13 mangsa terkorban akibat kejadian tanah runtuh di tapak perkemahan berhampiran Father Organic Farm, Batang Kali hari ini.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, sebahagian daripadanya masih berada di kawasan kejadian dan ada yang telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Jumlah berkenaan merupakan informasi yang terkini diterima oleh Kementerian Kesihatan (KKM) setakat ini.

Namun, katanya, jumlah berkenaan bergantung kepada sebarang perkembangan di lokasi kejadian.

Buat masa ini, menurutnya, seramai tujuh mangsa yang sedang dirawat di tiga buah hospital.

“Sebanyak tiga hospital yang terlibat untuk merawat kes-kes daripada kejadian iaitu seorang setakat ini di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang dan ada di Hospital Kuala Kubu Baru,” katanya ketika sidang media di Hospital Selayang hari ini.

Jelas Dr. Zaliha, sebahagian besar mangsa yang cedera berada di zon hijau.

Terdahulu beliau menerima taklimat daripada pihak pengurusan Hospital Selayang mengenai mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh yang berlaku awal pagi tadi.

Mengulas lanjut, katanya, salah seorang daripada mangsa yang sedang menerima rawatan di Hospital Selayang merupakan ibu mengandung dan memerlukan pemerhatian.

“Selepas saya melawat yang cedera dan berada di Jabatan Kecemasan di sini, ketiga-tiga memerlukan pemerhatian dan rawatan, ada yang cedera di muka,” jelasnya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tanah runtuh: Lapan orang maut , 60 diselamatkan – Polis