Sebuah trak polis membawa mayat keluar dari lokasi tanah tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 16 DISEMBER 2022.

HULU SELANGOR – Operator yang mengusahakan tapak Father’s Organic Farm mengendalikan tapak perkhemahan secara haram tanpa mendapat permit dari pihak berkuasa.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, operator berkenaan hanya dibenarkan mengendalikan ladang organik sahaja.

“Mengikut laporan yang saya terima kawasan perkhemahan ini diusahakan tanpa lesen sah dan pengusaha tidak mendapatkan lesen kebenaran untuk tapak perkhemahan ini.

“Semakan juga mendapati tidak ada lesen diberikan oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan ini satu kesalahan di bawah Akta 133,” katanya kepada pemberita di lokasi di sini hari ini.

Tambah beliau, sekiranya disabit kesalahannya boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda tidak melebihi 50,000.

Justeru katanya, pengusaha tapak perkhemahan itu hanya ada kebenaran untuk membangunkan ladang organik tetapi bukan untuk tapak perkhemahan tersebut

“Saya boleh mengesahkan sekarang kita tidak terima sebarang permohonan daripada operator berkenaan,” katanya.-MalaysiaGazette