KUALA LUMPUR – Polis tidak mengeluarkan sebarang kebenaran atau kelulusan kepada Perhimpunan Solidariti Tuntutan Bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2.0 yang dirancang diadakan di hadapan Parlimen pada pagi Isnin ini.
Ketua Polis daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya mengesan satu poster semalam jam lebih kurang 5.30 petang yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Azmie Bugis -AB di pautan
NeH83xJZLEEzMBfq7FHWLZooxmP42pAJ3qA41jynnEN6Uql.
Katanya, siasatan awal mendapati himpunan itu dianjurkan oleh Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIR).
“Penelitian terhadap poster itu memaparkan gesaan terhadap orang ramai untuk hadir beramai-ramai menyokong perhimpunan solidariti itu yang akan diadakan pada 19 Disember ini jam 7.30 pagi di pintu masuk Parlimen Malaysia.
“Tetapi yang pelik dalam poster itu dinyatakan kononnya perhimpunan itu telah mendapat persetujuan dan kebenaran pihak polis,” katanya dalam kenyataan lewat malam ini.
Dalam perkembangan tersebut, Noor Dellhan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan penganjur itu kononnya sudah mendapat kebenaran polis.
“Untuk makluman, setakat ini polis tidak memberikan sebarang persetujuan atau kebenaran terhadap perhimpunan ini.
“Malahan polis juga tidak menerima sebarang permohonan bagi mengadakan apa-apa solidariti sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan penularan dan penyebaran poster himpunan solidariti itu dan tidak menyertai sebarang perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil ke atas mana-mana pihak yang terlibat dan melanggar arahan dan undang-undang yang diperuntukkan,” tegasnya.
Terdahulu, penelitian dalam laman itu mendapati PGIR kononnya menyatakan misi dan matlamat solidariti berkenaan adalah untuk menarik perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa billah Shah , Perdana Menteri dan wakil-wakil rakyat bagi menzahirkan desakan rakyat yang sangat-sangat tertekan, terhimpit dan terkesan dan mahukan pengeluaran KWSP bersasar diluluskan dengan kadar segera.
PGIB juga menuntut agar pelan tindakan mereka menguatkan usaha tuntutan dan dibawah di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette