Salah seorang mangsa yang terkorban dibawa keluar dari lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 16 DISEMBER 2022.

HULU SELANGOR – Lima lagi jasad mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali – Jalan Genting Gohtong berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat.

Perkembangan terkini itu menjadikan sehingga kini 16 mangsa maut dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2 pagi tadi.

Mangsa terdiri daripada tiga wanita dewasa, seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitendan Suffian Abdullah.

“Kita berjaya menemui lima lagi mangsa yang meninggal dunia akibat tertimbus dalam tanah runtuh itu serta sudah dikeluarkan jam 1 tengahari tadi,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian itu.

Tambah beliau, pihak polis menggunakan kaedah inkubator dan sistem penyodok dalam mencari serta menyelamatkan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan tanah dianggarkan 500,000 tan itu.

“Pada masa sama kita juga menambah kekuatan pasukan penyelamat dari pelbagai agensi keselamatan membabitkan 15 agensi dan dari segi penugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut sama membantu adalah Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerak Am (PGA),” katanya lagi.

Setakat ini Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara turut turun meninjau di lokasi kejadian.

Tambah Suffian, baki 17 lagi mangsa yang masih terperangkap dan tertimbus dalam runtuhan tanah itu berada di dua sektor iaitu Sektor A Hill View dan Sektor B iaitu Farm View.

Katanya sebelum jam 9 pagi tadi seramai 53 mangsa yang berjaya diselamatkan telah dihantar ke Balai Polis Hulu Yam untuk menjalani prose’s mengenal pasti identiti mereka untuk rekod. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.