BATANG KALI – Dua lagi mayat ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting Highlands – Batang Kali petang ini.
Penemuan terbaru itu menjadikan angka korban tragedi tanah runtuh yang berlaku kira-kira jam 2.30 pagi semalam (Jumaat) meningkat kepada 23 orang.
Kedua-dua mayat yang dikenal pasti seorang wanita dan kanak-kanak lelaki dipercayai ibu dan anak itu telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat dan pengecaman.
Perkembangan terkini itu disahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor.
Pengarahnya, Datuk Norazam Khamis berkata, kedua-dua mayat itu ditemui petugas SAR di kawasan sektor A, Hill View pada 1.05 petang tadi.
Menurut beliau, wanita itu dianggarkan berumur 30-an manakala kanak-kanak lelaki itu berusia dalam lingkungan dua ke tiga tahun.
“Semasa menjumpai (mangsa) kedudukan mereka berhampiran yang mana kita mengesyaki mereka adalah ibu dan anak, serta dalam keadaan sempurna.
“Mangsa ditemui di lereng bawah Hill View atau sektor A berhampiran dengan kolam air. Justeru fokus kita pada masa kini adalah di lokasi terbabit dan juga di sebelah hadapan Hill View.
“Penemuan kedua-dua mereka ini terletak 800 meter daripada lokasi mayat yang dijumpai kali terakhir semalam,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Bagi memudahkan kerja-kerja pengorekan, Norazam berkata, satu lagi mesin jengkaut dibawa masuk ke lokasi kejadian.
Ketika ini, empat jengkaut beroperasi untuk mempercepat operasi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa lain.
Katanya, setakat ini hampir 40 peratus tanah runtuh di tapak perkhemahan itu telah digali dan berjaya menemui mangsa.
Kini tinggal 10 lagi mangsa yang masih belum ditemui dipercayai tertimbus dalam tanah berlumpur di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette