Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Norazam Khamis bercakap pada sidang media mengenai keadaan tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 17 DISEMBER 2022.

BATANG KALI — Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih belum dapat mengenal pasti lokasi tepat baki 12 mangsa insiden tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Genting Highlands.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, peluang mangsa yang masih hilang untuk hidup adalah tipis mengambil kira memasuki hari kedua pencarian.

Tambah beliau, keadaan tanah yang agak tebal dan berlumpur menghempap badan mangsa akan menyukarkan mereka untuk hidup.

“Secara kasarnya, peluang sangat tipis, 99.9 peratus untuk hidup memandangkan mereka belum ditemui pada hari kedua.

“Berdasarkan keadaan lokasi itu sendiri, mangsa yang ditemui semalam tertimbus pada kedalaman tanah antara tiga dan meter kaki, dan mereka sedang tidur ketika kejadian berlaku dalam keadaan suntuk sukar untuk menyelamatkan diri,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Walaupun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan masih ada mangsa yang selamat sekiranya mereka berpaut kepada batu atau pokok.

Pada masa sama, Norazam berkata operasi SAR hari ini turut melibatkan enam ekor anjing pengesan (K9) daripada JBPM dan seekor anjing Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Jelas beliau, anjing-anjing itu berupaya untuk mengesan mayat yang berada di bawah timbunan tanah, batu-batuan mahupun di dalam air.

Katanya, jumlah kekuatan petugas SAR dikecilkan dalam operasi hari ini yang terdiri dari pegawai JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), ATM, SMART, dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Hanya yang pakar dengan kejadian tanah runtuh dikerah ke lokasi runtuhan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku, selain memastikan keselamatan pasukan bertugas.

“Pada pagi ini, jumlah dah bilangan yang berada di lokasi pencarian seramai 135 orang. Bukan untuk mengecilkan skop pencarian tetapi hanya mengehadkan bilangan (petugas SAR).

“Kawasan masih sama tetapi kita mengehadkan bilangan orang supaya yang berada disini hanya yang sebenarnya mahir dan arif dalam operasi melibatkan tanah runtuh,” katanya lagi.

Mengulas mengenai pembahagian operasi SAR, katanya ia masih terbahagi kepada tiga sektor.

Sektor A melibatkan kawasan sekitar Hill View, sektor B melibatkan kawasan sekitar Farm View manakala sektor C meliputi kawasan River Side.

“Berdasarkan kepada pencarian dan penemuan mangsa terakhir semalam adalah di sektor C, jadi hari ini pasukan SAR akan memberikan fokus di sekitar sektor C dan B.

“Di sektor A, kita masih menghantar pasukan penyelamat terutama penekanan kepada kawasan berhampiran lereng di Hill View.

“Kita percaya kemungkinan ada mangsa kerana pada semalam kita jumpa 16 orang mangsa di hill view dan lima mangsa di riverside,” katanya.

Setakat malam tadi, seramai 21 mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi semalam manakala 12 orang lagi masih dilaporkan hilang.

Seramai 94 individu terlibat dalam kejadian tersebut yang disifatkan sebagai tragedi tanah runtuh paling buruk pada tahun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast