Anggota bomba menyambung misi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang tertimbus di lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 16 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Wisma Putra mengesahkan tiga rakyat Singapura yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di Jalan Genting Highlands – Batang Kali ditemukan selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat semalam.

Mereka antara 94 mangsa tanah runtuh yang menimpa tapak perkhemahan Father’s Organic Farm berhampiran jalan tersebut.

“Kementerian Luar menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada semua mangsa dan keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam insiden tragis tanah runtuh di Batang Kali, Selangor.

“Kerajaan Malaysia bertindak pantas dalam memastikan semua pihak yang terbabit dalam tragedi ini diberi bantuan segera. Mari kita berdoa keselamatan mangsa dan mereka yang menjalankan operasi mencari serta menyelamat,” kata Wisma Putra dalam kenyataan pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi semalam seramai 21 mangsa terkorban manakala 12 lagi masih hilang dipercayai tertimbus dalam runtuhan tanah.

Sehingga kini 94 mangsa dilaporkan terbabit dalam tragedi malang itu termasuk 20 guru dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong serta ahli keluarga mereka. – MalaysiaGazette