Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir bagi meninjau keadaan tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 16 DISEMBER 2022.

HULU SELANGOR – Sebanyak RM10,000 akan diberikan kepada keluarga setiap mangsa yang meninggal dunia dalam runtuhan tanah di Jalan Batang Kali – Genting Highlands.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 turut diberi kepada ketua isi rumah mangsa yang tidak terlibat dengan kematian.

“Mangsa yang meninggal dunia kita akan segerakan bantuan RM10,000 untuk permulaan dan RM1,000 bagi setiap keluarga mangsa yang lain,” katanya pada sidang media selepas meninjau misi mencari dan menyelamat mangsa (SAR) di sini malam ini.

Jelas Anwar, bantuan tersebut akan diselaraskan dengan pihak Menteri Besar Selangor dan badan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, satu dana akan disalurkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA) sebagai tanda penghargaan atas usaha SAR kali ini.

Ia akan diberi kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Selangor.

Setakat ini, SAR bagi mencari baki 12 lagi mangsa yang masih tertimbus akan diteruskan walaupun hujan renyai ketika ini. – MalaysiaGazette