Dua individu dipercayai waris mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm untuk melakukan proses pengecaman di Hospital Sungai Buloh,Selangor. Foto MUHD NA’IM, 18 DISEMBER 2022.

SUNGAI BULOH – Seorang lelaki yang hadir untuk membuat pengecaman mayat di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh (HSB) di sini terpaksa pulang dengan seribu satu pertanyaan apabila dimaklumkan tiada rekod mendiang ahli keluarganya ditempatkan di situ.

Beliau yang berasal dari Machap Baru, Melaka dan enggan dikenali masih belum mengetahui nasib menimpa empat ahli keluarga yang dipercayai menjadi mangsa runtuhan tanah di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Hulu Selangor, kelmarin.

Ketika ditemui media lelaki itu berkata, kehadirannya di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB), di sini, bagi menjalankan proses pengecaman.

Bagaimanapun menurutnya, baki mayat yang belum dituntut di sini, bukanlah ahli keluarganya.

“Saya minta maaf tidak dapat memberikan maklumat. Sudah buat pengecaman, tapi bukan,” katanya ringkas.

Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Datuk Ginie Lim yang berkongsi maklumat berkata, terdapat dua keluarga masing-masing empat dari Machap Baru dan empat lagi Machap Umboo, Melaka adalah mangsa tragedi itu.

Difahamkan, identiti keluarga dari Machap Umboo yang terdiri daripada ibu bapa dan dua anak itu sudah dikenalpasti manakala seorang lagi anak mereka masih belum ditemui.

Sementara empat ahli keluarga dari Machap Baru pula masih belum ditemui.

Terdahulu, seramai 94 individu terlibat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi Jumaat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast