Keadaan di sekitar lokasi kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 DISEMBER 2022.

SUNGAI BULOH – Empat anak beranak yang tertimbus dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Gohtong Jaya, Batang Kali kelmarin meminati aktiviti perkhemahan.

Perkara itu dimaklumkan seorang waris yang hanya mahu dikenali dengan panggilan Mary, 58, apabila memberitahu, keluarga mendiang kakaknya itu sangat suka kepada aktiviti tersebut.

“Mereka empat beranak memang sukakan aktiviti perkhemahan,” katanya kepada media ketika ditemui di Pusat Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh di sini.

Menurutnya, mayat kakaknya bersama suami dan anak lelaki mereka berusia tiga tahun sudah dikenal pasti, sementara anak perempuan mereka berumur enam tahun masih belum ditemui.

“Mereka semua datang dari Machap Baru. Mereka pergi berkhemah bersama rakan yang juga satu keluarga seramai empat orang. Cuma, empat beranak itu masih belum ditemui.

“Sekarang ini, mayat kakak saya, abang ipar dan anak lelaki mereka sudah ditemui. Mayat anak saudara perempuan saya saja lagi belum ditemui.

“Kami sangat risau. Kami harap mereka baik-baik saja. Kami harap semuanya baik-baik saja,” ujarnya.

Katanya, dia hanya mendapat tahu mengenai kejadian tanah runtuh itu menerusi laman sosial Facebook.

Tambahnya, ketiga-tiga mayat keluarganya itu akan dibawa pulang malam ini.

“Mayat kita akan bawa keluar malam ini juga. Tidak dibawa balik ke Melaka. Ibu saya dan ahli keluarga lain menunggu di rumah,” ujarnya.

Tiga mayat itu adalah baki daripada 24 mayat yang dihantar di Jabatan Forensik di sini sejak kelmarin.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan identiti 21 mayat terbabit. – MalaysiaGazette