Anggota pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan anggota Pertahanan Malaysia melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang tertimbus di lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 16 DISEMBER 2022.

Saudara Pengarang,

ARAHAN penutupan tempat-tempat perkelahan dan perkhemahan seluruh negara susulan tragedi tanah runtuh yang berlaku di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali ibarat sudah kalah baru hendak berkubu. Apa yang lebih mengejutkan adalah apabila tapak-tapak pekhemahan yang terbabit dalam kejadian tersebut dikenal pasti tidak berlesen dan telah beroperasi secara haram sejak tahun 2020. Apakah selama dua tahun ini langsung tidak ada mana-mana pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan dan pemantauan untuk memastikan pemilik premis mematuhi peraturan dan mengikut garis panduan yang ditetapkan?

Kejadian ini juga dilaporkan tanah runtuh besar yang ke-23 dalam tahun ini sahaja dan yang terburuk setakat ini. Bencana alam yang bukan hanya semakin kerap berlaku tetapi berulangan di negara ini umpama sudah menjadi suatu kebiasaan kerana sikap tidak bertanggungjawab, kegagalan mengurus dan tiada kesedaran alam sekitar. Hal ini sangat sinonim dengan ungkapan “mereka yang melupakan sejarah akan cenderung mengulanginya”.

Contoh lain yang juga jelas menunjukkan kekhilafan pihak berkuasa adalah insiden pencemaran Sungai Kim-Kim akibat pembuangan sisa kimia yang sudah berlaku sejak beberapa tahun sebelum berlakunya gelombang keracunan air yang lebih teruk pada tahun 2019, menurut penduduk tempatan. Kejadian ini telah memberi kesan kepada hampir 6,000 orang dan sehingga kini dilaporkan masih mengalami kesan sampingan akibat peristiwa tersebut.

Sama juga seperti bencana banjir yang menenggelami Taman Sri Muda pada hujung tahun lalu yang mana hanya selepas kehilangan beberapa nyawa dan kerugian mencecah jutaan ringgit didapati bahawa pihak berkuasa sudah lama tahu kawasan tersebut berpotensi untuk dilanda banjir. Penduduk Taman Sri Muda turut mendakwa aduan sudah dihantar beberapa kali untuk meneliti situasi di kawasan yang kerap kali mengalami banjir namun tidak ada sebarang maklum balas dan tindakan diambil untuk mencari jalan penyelesaian.

Ini tidak termasuk isu penggondolan bukit-bukit dan pengecilan hutan-hutan simpan yang sehingga kini bukan hanya masih mengancam flora dan fauna tetapi kehidupan komuniti Orang Asli yang sudah lama menetap dan bergantung kepada hasil bumi sebagai “periuk nasi” mereka. Semua ini menunjukkan tidak lain tidak bukan tetapi kelemahan sistem penguatkuasaan dan pemantauan badan-badan alam sekitar dan kesedaran rakyat Malaysia khususnya pihak berkuasa.

Sudah menjadi sebuah trend hanya selepas sesuatu berlaku masing-masing hendak mengeluarkan kenyataan dan menunding jari menyalahkan pihak lain. Jika dibiarkan perkara ini berterusan, kita tidak akan boleh menyelesaikan apa-apa malah menyebabkan kerugian yang lebih besar lebih-lebih lagi dengan sikap hangat-hangat tahi ayam yang mana umpama menjadi tradisi rakyat Malaysia yang hanya membuat “bising” apabila sesuatu berlaku dan beransur menjadi suram selepas seketika.

Bencana alam bukan hanya menjejaskan kualiti kehidupan terutama golongan masyarakat yang tidak langsung menyumbang kepada berlakunya kejadian-kejadian buruk ini termasuk komuniti terpinggir seperti golongan miskin, kanak-kanak dan belia, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan komuniti Orang Asli tetapi turut memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara ini. Proses pemulihan ekonomi selepas berlakunya sesuatu bencana adalah sangat membebankan negara termasuklah pembinaan dan penggantian aset-aset yang musnah dan mendirikan semula sektor ekonomi di kawasan yang terbabit terutamanya sebagai sebuah negara yang masih sedang membangun seperti Malaysia.

Tidak dapat dinafikan bahawa bencana alam juga merupakan fenomena yang berlaku kerana faktor semulajadi seperti banjir yang sedang melanda beberapa negeri kini yang disebabkan oleh luruan monsoon, fenomena La Nina dan perubahan sistem iklim. Namun, pelbagai kajian menunjukkan bahawa aktiviti manusia seperti pembangunan tidak terancang dan tidak mampan, pencerobohan tanah dan pencemaran menyebabkan perubahan iklim dan mengundang kepada berlakunya bencana alam. Misalnya, peningkatan kekerapan dan taburan hujan, kenaikan aras laut dan cuaca tidak menentu disebabkan kesan pemanasan global.

Laporan Penilaian Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) juga menjangkakan impak perubahan iklim yang lebih agresif dalam 20 tahun akan datang seperti bencana alam yang lebih kerap dan ekstrem, kekurangan sumber air akibat peningkatan suhu yang mendadak, kemusnahan yang berganda akibat banjir dan peningkatan kadar kepupusan spesis haiwan dan tumbuhan yang memberi kesan langsung kepada sosioekonomi masyarakat sekiranya tindakan yang efisien tidak diambil dengan kadar segera.

Tindakan untuk memitigasi perubahan iklim tidak boleh dilengah-lengahkan lagi untuk memastikan kelangsungan kesejahteraan rakyat, ekosistem semula jadi, bekalan makanan, dan sumber air. Kita harus dengan serta merta menilai dan mengkaji semula keberkesanan usaha-usaha yang sedia ada, perlaksanaan dasar dan strategi pengurusan risiko yang lebih efektif seterusnya menggalakkan penyertaan aktif daripada masyarakat terutamanya penggiat industri dan pihak berkepentingan di peringkat akar umbi khususnya golongan muda.

Selain itu, usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat juga harus dipergiatkan bukan hanya untuk mengetahui kesan dan akibat berlakunya perubahan iklim tetapi juga peranan dan tindakan yang boleh diambil oleh mereka sebagai seorang individu. Proses ini sebaiknya bermula melalui pendidikan formal agar kesedaran dapat dipupuk sejak di bangku persekolahan lagi. Misalnya dengan meneliti semula dan mengemaskini kandungan kurikulum kebangsaan supaya dapat menambah lebih banyak elemen perlindungan alam sekitar yang berfokuskan kepada naratif tempatan, tadbir urus perubahan iklim termasuk proses pembuatan dasar dan kaedah pelaksanaan serta menekankan aspek kerjasama di antara pelbagai pihak termasuk sektor awam dan swasta di pelbagai peringkat.

Seterusnya, saya amat berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan semula pengisytiharaan “Darurat Iklim” sebagai tanda komitmen kerajaan yang tinggi dalam usaha untuk menangani isu perubahan iklim. Langkah ini akan membantu untuk merancang dan memberi keutamaan khususnya dalam melaksanakan pelan tindakan iklim dengan lebih berstruktur, menyeluruh dan efisien terutamanya bagi mengurangkan perlepasan gas rumah hijau (GHG), membendung pemanasan global antropogenik dan menghijaukan sektor ekonomi.

Sebuah kajian yang dijalankan oleh UNICEF Malaysia pada tahun 2020 melaporkan bahawa terdapat risiko yang amat serius terhadap golongan muda di Malaysia khususnya dari segi kesejahteraan hidup, pendidikan dan penjanaan pendapatan. Laporan tersebut turut mengesyorkan agar anak-anak muda diberi ruang untuk menyumbang kepada proses membuat keputusan dan pembuatan dasar dalam isu-isu berkaitan perubahan iklim dan alam sekitar.

Oleh itu, saya menyarankan pihak kerajaan agar membangunkan sebuah strategi yang lebih inklusif dan membolehkan penglibatan pelbagai pihak termasuk golongan muda dalam tadbir urus perubahan iklim. Cadangan saya adalah supaya membentuk sebuah Jawatankuasa Persidangan Belia Perubahan Iklim yang boleh berfungsi sebagai badan pemikir dan platform rasmi bagi manyatukan aktivis dan organisasi belia yang diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan untuk menyumbang kepada tadbir urus perubahan iklim dan alam sekitar.

Saya ingin mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan takziah dan bersimpati kepada semua keluarga mangsa yang terjejas dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor. Semoga kekal tabah dan terima kasih juga diucapkan kepada pasukan penyelamat dan para sukarelawan yang membantu menjayakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR). Kepada rakyat Malaysia, musim tengkujuh ini akan membawa hujan lebat, angin kencang, ombak yang bergelora dan kenaikan paras air. Maka elakkan daripada melakukan sebarang aktiviti rekreasi atau berada di kawasan empangan, gunung, sungai dan pantai.

Rancanglah perjalanan terlebih dahulu dengan merujuk ramalan cuaca yang terkini oleh Jabatan Meteorologi Malaysia. Selain itu, berhati-hati semasa mengendalikan peralatan elektrik, jimatkan penggunaan air dan jaga kebersihan diri. Bagi mereka yang tinggal di kawasan yang berisiko banjir, sediakan bekalan makanan, air dan pakaian yang mencukupi, selamatkan barang-barang yang penting sahaja sekiranya berlaku banjir. Teruskan berdoa untuk kesejahteraan semua dan semoga kita dapat mengharungi fasa mencabar ini bersama.

Kesimpulannya, saya menyeru agar kerajaan perpaduan yang baru dibentuk pimpinan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia Ke-10 dan Menteri Kewangan dapat mengetepikan segala perbezaan fahaman politik dan ideologi dan terus bersatu dalam menangani isu perubahan iklim yang semakin kritikal ini. Keputusan yang diambil hari ini hanya mempunyai dua hasil sama ada peluang untuk mencari jalan untuk terus hidup atau menghitung hari-hari terakhir kewujudan bumi dan khalifahnya.

Bersama kita mampu melakukan perubahan!

Mogesh Sababathy
Aktivis Belia Alam Sekitar
Pengasas Bersama Project Ocean Hope

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast