Shamsul Iskandar Md. Akin

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menempelak kenyataan Datuk Seri Hamzah Zainudin terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, hari ini.

Shamsul Iskandar yang kini Ketua Setiausaha Politik kepada Anwar berkata, kenyataan yang dikeluarkan Hamzah tidak menggambarkan beliau sebagai Ketua Pembangkang.

“Saya berasa aneh bagaimana seorang Ketua Pembangkang yang sepatutnya mempunyai pengalaman luas di dalam Parlimen boleh mengesampingkan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 23 (1)(i), yang jelas menghalang sesuatu pertanyaan dikeluarkan hanya dengan bergantung kepada penerangan-penerangan dalam surat khabar.

“Lebih memualkan naratif songsang yang dibawa oleh Ketua Pembangkang turut dilantuni oleh Ahli-Ahli Parlimen PN tanpa menggunakan akal yang waras dan memainkan isu peribadi yang telah selesai apabila Yang di-Pertuan Agong ke 15, Sultan Muhammad V pada 16 Mei 2018, berkenan mengampunkan Anwar dengan pengampunan Di Raja bermaksud segala rekod kesalahan Dato Seri Anwar Ibrahim di hapuskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shamsul Iskandar mengulas kenyataan Hamzah yang menggesa Anwar menyaman media Eropah, yang telah menerbitkan artikel mengenai pelantikannya sebagai perdana menteri dengan menggelarnya sebagai “homoseksual sepenuhnya” (full-blown homosexual).

Hamzah berkata, ia jelas adalah satu penghinaan kepada Anwar, dan dia mesti mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara itu.

“Dia (Agenzia Nova) menghina perdana menteri. Tindakan tegas harus kita ambil. Kerajaan bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada seluruh dunia bahawa Tambun sudah pun diberi pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong,” kata Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut di Parlimen. – MalaysiaGazette