Kylian Mbappe. Foto Goal.com

QATAR – Bintang sensasi Perancis, Kylian Mbappe menjadi pemain pertama meledak hatrik pada aksi final Piala Dunia sejak kali terakhir dilakukan legenda England, Geoff Hurst pada 1966.

Mbappe turut dinobatkan sebagai pemenang anugerah Kasut Emas Piala Dunia 2022 selepas menjaringkan lapan gol, berkelebihan satu gol ke atas bintang sensasi Argentina, Lionel Messi yang merekodkan tujuh gol sepanjang kejohanan kali ini.

Dalam aksi final, Mbappe menjaringkan dua gol penting buat Perancis dalam tempoh masa sebenar permainan bagi membantu pasukan itu menyamakan kedudukan selepas ketinggalan dua gol di belakang Argentina, sebelum menyempurnakan sepakan penalti pada masa tambahan.

Walaupun Argentina memenangi Piala Dunia kali ini menerusi penentuan sepakan penalti tetapi Mbappe mencipta sejarah tersendiri dengan menjadi pemain pertama meledak hatrik pada aksi final sejak 1966.

Penyerang berusia 23 tahun itu juga menjadi pemain paling banyak menjaringkan gol di pentas final Piala Dunia selepas turut meledak satu gol ketika Perancis menewaskan Croatia 4-2 pada edisi 2018.

Sementara itu, hatrik Hurst menyaksikan England berjaya meraih satu-satunya kejuaraan Piala Dunia pada 1966 selepas The Three Lions menewaskan Jerman Barat 4-2 di London. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast