keabsahan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 19 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kelulusan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan manifestasi bagi semua pihak termasuk kerajaan dan pembangkang untuk bergerak ke hadapan dan memberi seluruh tumpuan membangunkan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, lunas demokrasi menyaksikan rakyat melalui wakil mereka di Dewan Rakyat telah memberikan mandat yang jelas kepada Kerajaan Perpaduan apabila usul undi percaya diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

“Alhamdulillah, maka kini sudah jelas lagi tuntas akan keabsahan Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan usul percaya kepada Anwar sebagai Perdana Menteri melalui undian suara.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, rakyat hari ini mendambakan kerajaan yang bekerja serta berfungsi untuk kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, sudah pasti isu ekonomi dan kos sara hidup rakyat akan menjadi fokus utama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Pelbagai cabaran dalam urusan ekonomi dan kewangan negara pada tahun mendatang ini memerlukan sokongan semua pihak dalam memastikan kelangsungan kehidupan rakyat.

“Perancangan dan pelaksanaan dasar serta polisi yang mampan akan menghasilkan sebuah negara lebih maju dan sejahtera,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menambah, kestabilan politik amat penting agar rakyat dapat bersama-sama bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan untuk membina negara ke arah yang lebih baik.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mengambil kesempatan untuk menzahirkan penghargaan kepada bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Harun atas perkhidmatan beliau selama ini.

“Tahniah jua atas pemilihan dan selamat bertugas buat Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu, Datuk Johari Abdul serta timbalan-timbalan beliau.

“Gunakan landasan ini bagi menjayakan bersama agenda pengukuhan institusi Parlimen dengan sebaiknya,” katanya. – MalaysiaGazette