Ketua Pembangkang yang merupakan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Majlis Parlimen ke 15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin menganggap usul undi percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini sebagai gimik.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, usul yang dibawa oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Ahli Parlimen Petrajaya itu menimbulkan banyak persoalan.

“Usul yang dibawa oleh Petrajaya ini membawa kepada banyak persoalan: Apakah usul ini mempersoalkan kuasa dan keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atau adakah kerana kerajaan yang dibentuk ini adalah sebuah kerajaan minoriti?

“Tahniah YAB Tambun yang telahpun mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November yang lepas walaupun seperti kenyataan YAB Tambun sendiri, bahawa YB Pagoh sudahpun dalam pusingan pertama memperolehi sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri,” katanya ketika membahaskan usul undi percaya terhadap perdana menteri.

Beliau yang menjadi pembahas pertama daripada 12 ahli Parlimen yang terpilih turut mempertikaikan perjanjian persefahaman yang ditandatangi oleh Anwar dan empat pemimpin parti yang lain.

Menurut beliau, Perjanjian Persefahaman Kerjasama itu merosakkan dan memudaratkan.

“Perjanjian itu adalah satu perjanjian haram yang menyekat, merosakkan dan memudaratkan emokrasi berparlimen,” katanya sambil merujuk kepada Klausa 4(a) dan 4(b) Perjanjian Persefahaman Kerjasama tersebut.

Hamzah mendakwa , ramai yang menolak serta tidak bersetuju dengan syarat-syarat yang ditandatangani dalam Perjanjian Persefahaman tersebut.

Katanya, MIC yang merupakan komponen BN turut telah menyatakan bahawa perjanjian ini tidak pernah dibincangkan dan dipersetujui di Dewan Tertinggi BN.

“Adakah ini demokrasi yang dimaksudkan oleh YAB Tambun?

“Dengan ini saya ingin menekankan bahawa Perjanjian Persefahaman tersebut adalah tidak sah dan tidak terikat kepada Ahli-ahli Parlimen PH, BN, GPS, GRS dan
Warisan,” katanya.-MalaysiaGazette