Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 19 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan pemberian bantuan tunai kepada rakyat.

Fasa 1 Bantuan Tunai Rakyat akan disalurkan awal iaitu pada Januari  depan berbanding diberikan pada bulan Mac sebelum ini.

“Bayaran Fasa 1 ini akan memanfaatkan hampir 9 juta penerima dengan peruntukan RM2 bilion melibatkan kadar RM300 bagi setiap isi rumah dan RM100 untuk penerima bujang.

“Saya berharap, penyaluran awal ini membantu meringankan beban yang ditanggung rakyat pada waktu ini,” kata Anwar ketika mengumumkan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikan ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2002.

RUU itu membenarkan perbelanjaan sebanyak RM107,718,678,650 dikeluarkan bagi perkhidmatan kerajaan untuk sebahagian tahun 2023.

Sementara itu, Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 juga akan diberikan bulan depan.

Anwar berkata, bantuan itu akan diagihkan kepada semua murid tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa.

“Dengan isu generasi tercicir ekoran kemelut pandemik yang baru berlalu, adalah penting untuk mempersiapkan anak-anak dengan kelengkapan sekolah yang sewajarnya.

“Selain keperluan perbelanjaan bagi Rancangan Makanan Tambahan dan pembelian buku teks, Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan,” katanya.

Kerajaan juga akan terus memastikan kebajikan para pekebun kecil getah dijaga ketika musim tengkujuh dengan mengumumkan tambahan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) sebanyak RM200 kepada pekebun kecil getah yang dicadang diberikan pada bulan depan.

Setakat ini katanya, kerajaan telah menyalurkan BMT bagi bulan November dan Disember dengan bantuan keseluruhan RM600 kepada hampir 320 ribu pekebun kecil getah.-MalaysiaGazette